UNITED BENAM KELAB TURKI
BANGKIT SELEPAS KALAH SEBELUM INI
MANCHESTER: Ole Gunnar Solskjaer menegaskan Manchester United kembali ke landasan betul selepas mereka menebus kekalahan memalukan di tangan Istanbul Basaksehir dengan kemenangan 4-1 di Old Trafford.
Anak buah Solskjaer dikejutkan 2-1 oleh kelab Turki itu dalam aksi Kumpulan H Liga Juara-Juara di Istanbul awal bulan ini.
Bruno Fernandes membuka jaringan di Old Trafford seawal minit ketujuh dengan percubaan jarak jauh sebelum menggandakannya 12 minit kemudian.
Dia berpeluang melengkapkan hatrik tetapi membiarkan Marcus Rashford mengambil sepakan penalti untuk gol ketiga United sebelum rehat.
Pemain Basaksehir Deniz Turuc merapatkan jurang menerusi sepakan percuma, tetapi Daniel James mengesahkan kemenangan United di minit terakhir permainan seperti yang dipetik BH Online laporan dari AFP.
“Saya rasa pada babak pertama kita sudah melihat hala tuju mereka, mereka mahu bermain dan menikmatinya.
“Ia adalah malam Liga Juara-Juara di Old Trafford, anda mahu mereka menikmatinya. Kami menjaringkan beberapa gol cantik, saya berpuas hati,” kata Solskjaer.
Selepas merakam kemenangan ketiga daripada empat perlawanan peringkat kumpulan, United kini hanya memerlukan satu mata daripada baki dua perlawanan untuk mara ke kelompok 16 terakhir.
Perlawanan seterusnya adalah menentang Paris Saint-Germain dan RB Leipzig.