TIDAK PERLU PULANG KEDIAMAN KETIKA BANJIR
TIDAK PERLU PULANG KEDIAMAN KETIKA BANJIR – POLIS
KUANTAN: Polis Pahang menasihatkan penduduk terjejas tidak pulang ke kediaman mereka dalam tempoh banjir ini bagi mengelakkan lebih banyak kemalangan jiwa berlaku di negeri itu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, polis dengan bantuan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) sentiasa melakukan rondaan menggunakan bot ke kawasan perumahan yang terlibat banjir.
Justeru beliau berkata, penduduk terjejas tidak perlu pulang untuk melihat harta benda yang ditinggalkan di kediaman mereka.
” Tidak perlu khuatir dengan harta benda yang mereka tinggalkan sementara waktu di rumah semasa air banjir naik di kawasan taman perumahan mereka atau kawasan rumah mereka kerana rumah tersebut setelah mangsa mengunci rapat pihak polis memang menjaga dengan membuat rondaan menggunakan motorbot.
“Pihak polis ingin menasihatkan juga kepda mereka agar mematuhi arahan pihak berkuasa untuk segera berpindah sebelum berlaku banjir bagi mengelakkan belaku kemalangan jiwa,” katanya ketika ditemui selepas mengiringi Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mencemar duli menziarahi penduduk terjejas banjir di Wisma Belia, di sini, hari ini.
Selain itu katanya, penduduk perlu memberi kerjasama kepada pihak berkuasa jika diarahkan berpindah bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini.
Katanya, anak-anak mereka juga tidak boleh dibiarkan bermain air banjir kerana ia berisiko mengancam nyawa mereka.
Beliau juga mengingatkan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan orang perseorangan yang ingin menyalurkan bantuan boleh terus ke Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) yang dikendalikan Pejabat Pegawai Daerah.
Pahang telah merekodkan tiga kematian lemas di daerah Jerantut dan Lipis manakala seorang lagi mangsa lemas masih belum ditemui dan usaha mengesannya sedang dilakukan pihak berkuasa.