Terpulang kepada bidang kuasa Menteri Besar – Amizar
Terpulang kepada bidang kuasa Menteri Besar – Amizar
BENTONG – “Saya ‘no comment’, sebab ini bukan bidang kuasa saya, ini bidang kuasa Yang Amat Berhormat Menteri Besar,”
Demikian jawapan calon BN untuk pilihan raya kecil (PRK) Pelangai, Datuk Amizar Abu Adam ketika ditanya mengenai khabar angin dia akan dilantik sebagai Exco jika menang pada 7 Oktober ini.
Ketika disoal sama ada beliau bersedia untuk memasuki pejabat exco jika dipilih sebagai wakil rakyat, Amizar menjelaskan beliau tidak boleh menjawab soalan itu.
“Saya tidak boleh mendahului (Menteri Besar Pahang),” katanya ringkas ketika ditemui selepas melakukan ziarah kasih di FELDA Kemahal, dekat Pelangai, hari ini.
Jawatan exco Pahang mempunyai satu kekosongan ketika ini susulan penyandang kerusi DUN Pelangai, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun yang meninggal dunia selepas terbabit dalam nahas pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie berhampiran Bandar Elmina di Shah Alam pada 17 Ogos lalu.
Selain ADUN Pelangai, Allahyarham Johari juga adalah Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai corak kempen dilakukan PN cuba menimbulkan persepsi kononnya kerajaan Pahang yang membabitkan gabungan BN-PH ketika ini menggugat agama Islam, Amizar memberitahu, ia adalah tindakan yang silap.
“Itu kesilapan besar, inilah fitnah yang saya amat risau.
“Cara nak berkempen jangan terlalu ekstrem.
“Nak datang (berkempen), datanglah, ini negara demokrasi.
“Tapi janganlah (datang) untuk sebar fitnah,” katanya.- SAHIH