TANAH RUNTUH, LELAKI WARGA EMAS MAUT
TANAH RUNTUH, LELAKI WARGA EMAS MAUT
Kuching: Seorang lelaki warga emas maut selepas van dipandunya terjatuh dalam runtuhan tebing di Jalan Kota Sentosa-Bau berdekatan lampu isyarat Kampung Haji Baki, malam tadi.
Mangsa, Chai Kian Fah, 63, yang tersepit di dalam van disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 12.39 tengah malam.
Sepasukan 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan itu.
“Setibanya di lokasi, didapati berlaku tanah runtuh di tepi jalan dan sebuah van jatuh di tebing dalam runtuhan itu dengan seorang mangsa berada di dalamnya.
“Keadaan struktur tanah yang tidak stabil dan masih berlaku runtuhan susulan menyukarkan operasi menyelamatkan mangsa dan dilakukan dengan penuh berhati-hati,” katanya.
Menurutnya, selepas berjaya menuju ke arah mangsa, anggota bomba menggunakan peralatan khas memotong bahagian pintu kenderaan bagi mengeluarkan mangsa.
“Mangsa berjaya dikeluarkan pada 1.59 pagi dan dibawa naik ke jalan raya untuk pengesahan statusnya., lapor BH ONLINE.
“Selepas diperiksa, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan yang turut hadir di lokasi dan seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.