Runtuhan tebing dan mendapan Jalan Lepar Utara – Kota Gelanggi, penduduk bimbang keselamatan
Runtuhan tebing dan mendapan Jalan Lepar Utara – Kota Gelanggi, penduduk bimbang keselamatan
JERANTUT – Kira-kira 2,000 orang penduduk bimbang Jalan Lepar Utara melalui Kota Gelanggi ke Bandar Pusat Jengka dan Jerantut akan berlaku mendapan tanah dan runtuhan tebing di satu kawasan laluan tersebut pada gelombang pertama banjir pada 19 Disember 2021 lalu.
Laluan itu sudah dibaikpulih pada penghujung tahun lalu (2021) untuk cuma satu lorong sahaja, tetapi penduduk bimbang kerana hujan lebat masih berlaku ketika tempoh gelombang kedua ini dikhuatiri kawasan berkenaan mengalami kejadian yang sama semula.
Jalan berkenaan antara laluan utama penduduk keluar berbelanja, rawatan hospital dan urusan tertentu di Bandar Pusat Jengka dan bandar Jerantut kerana perjalanannya lebih dekat serta tempoh masa yang singkat.
Penduduk Felda Lepar Utara 4, Noh Hitam Yusof, 57, berkata, kejadian tebing runtuh sudah lama berlaku sejak musim banjir awal tahun lalu sehingga gelombang pertama pada 19 Disember nampak ketara apabila kejadian itu semakin teruk menyebabkan hampir sebahagian jalan tersebut.
“Pada mula kejadian berkenaan, kebanyakan penduduk tidak berani memandu kenderaan di laluan ini bimbang sekiranya berlaku runtuhan memandangkan hujan lebat turun dalam tempoh seminggu mulai 17 Disember 2021.
“Walaupun sudah dibaiki untuk cuma laluan satu lorong bagi kenderaan ringan pada penghujung tahun ini, tetapi kita masih bimbang sambil berharap kerajaan membina laluan baharu dalam masa terdekat,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Din Yusof, 57, berkata, Jalan Lepar Utara melalui Kota Gelanggi ke bandar terdekat semakin tenat dan perlukan perhatian segera kerajaan memandangkan laluan tersebut telah lama berlaku kerosakan akibat mendapan dan runtuhan tebing.
“Bilakah penantian kami penduduk di sini untuk menggunakan kemudahan jalan raya yang selamat dan selesa akan berakhir kerana laluan ini adalah jalan utama kami ke bandar.
“Cuma satu harapan sahaja kami perlukan kemudahan jalan raya yang sempurna dan selamat termasuk membaikpulih beberapa laluan lain ke gugusan Felda ini yang mengalami masalah yang sama setiap kali musim tengkujuh,” katanya.
Pemilik laman sosial Facebook dikenali Mohamad Arif Mohamad Sofian, 40-an menerusi penghantarannya menambah jalan tersebut merupakan satu-satunya laluan yang menghubungkan perkampungan Lepar Utara 1,2 dan 4 dengan dunia luar.
“Harap situasi kali ini mendapat perhatian penuh pihak yang bertanggungjawab. Kes ini sudah lama. Nak tunggu sampai bila baru nak repair (baiki) betul-betul.
“Ini cuma salah satu jalan yang rosak, bersepah (banyak) lagi jalan rosak teruk dari bandar menuju ke Felda Lepar Utara. Harap dapat perhatian wajar pihak yang bertanggungjawab….” katanya menerusi hantaran tersebut.-SAHIH.