Rumah pemandu lori hangus dijilat api
Rumah pemandu lori hangus dijilat api
BANDAR JENGKA – Sebuah rumah pemandu lori hangus dijilat api dalam kejadian kebakaran di Felda Jengka 14, petang semalam.
Kejadian berlaku kira-kira 2.20 petang yang dihuni oleh satu keluarga seramai 4 orang yang sempat keluar menyelamatkan diri ke jalan raya.

Tuan rumah, Ahmad Mazlan Mat Adam (49) berkata kejadian sangat pantas yang bermula di bahagian hadapan rumah yang berusia kira-kira 30 tahun dan terus melarat ke ruang tamu seterusnya ke bahagian dapur.
“Saya tidak pasti punca kebakaran, tetapi nampak percikan api berlaku di celahan dinding plywood rumah dan mungkin berlaku litar pintas, pihak bomba akan melakukan siasatan.
“Ketika itu saya, adik perempuan dan anak berusia 7 dan 10 tahun berada di rumah dan terus menjerit arahkan anak dan adik perempuan saya keluar selamatkan diri,”katanya ketika dihubungi.
Katanya, kini dia sekeluarga hanya sehelai sepinggang kerana tidak sempat menyelamatkan barang berharga dan dokumen penting.
Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Jengka tiba di tempat kebakaran kira-kira 10 minit kemudian dan melakukan operasi pemadaman.
Mazlan sekeluarga sekarang menumpang di rumah bapa saudaranya buat sementara waktu.-SAHIH