RM2.25 juta diperuntukkan oleh Felda, Yayasan Felda dan FGV Holding Berhad kelengkapan persekolahan Tahun Satu di seluruh negara
JERANTUT : Yayasan Felda dan FGV Holding Berhad sempena Program Selamat Datang Ke Sekolah peringkat Felda Wilayah Jengka di Felda Kota Gelanggi 1, Jerantut, Pahang .
Seorang guru, Azizah Mokhtar, 41, berasa gembira apabila anak sulungnya menerima sumbangan pakaian seragam, kasut, beg dan peralatan sekolah daripada Felda, Yayasan Felda dan FGV Holding Berhad sempena Program Selamat Datang Ke Sekolah peringkat Felda Wilayah Jengka.
Guru Sekolah kebangsaan (SK) Felda Kota Gelanggi Satu itu antara 59 orang ibu bapa dan penjaga Felda Kota Gelanggi 1 dan Felda Kota Gelanggi 3 yang mempunyai anak berusia tujuh tahun akan memulakan persekolahan baharu Isnin ini menerima sumbangan disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Lantikan, Haris Salleh Hamzah.
Azizah berkata, pada mulanya dia terkejut kerana anaknya, Muhammad Uqail Razman, 7, dipilih untuk menerima sumbangan tersebut sedangkan dia merupakan seorang penjawat awam dan mempunyai pendapatan tetap.
Saya tidak menyangka, setahu saya hanya golongan atau keluarga yang memerlukan sahaja diberikan bantuan persekolahan memandangkan mereka berpendapatan rendah dan tidak tetap di kampung dan pedalaman.
“Tetapi, setelah diberikan penjelasan oleh pihak berkenaan bahawa sumbangan tersebut telah ditetapkan untuk murid yang menjejakkan kaki ke Tahun Satu di sekolah kawasan Felda seluruh negara, baharulah saya faham,” katanya selepas majlis tersebut di Felda Kota Gelanggi Satu dekat sini hari ini.
Menurut Azizah, dia berterima kasih kepada Felda, Yayasan Felda dan FGV Holding Berhad di atas sumbangan tersebut sekali gus menceriakan serta menyuntik semangatnya anak sulungnya, Muhammad Uqail Razman melangkah ke SK Felda Kota Gelanggi Satu pada hari Isnin (17 Februari) minggu depan.
Suri rumahtangga generasi kedua Felda, Siti Aishah Kassim, 40, berkata, sumbangan kelengkapan persekolahan daripada pihak berkenaan mampu meringankan beban kewangan suaminya yang hanya bekerja sebagai buruh ladang.
“Dengan peralatan persekolahan yang bernilai RM150 amat bermakna bagi kami sekeluarga lebih lagi mengurangkan belanja persiapan persekolahan kerana saya perlu membiayai keperluan yang sama bernilai masing-masing RM200 untuk dua orang anak lagi di sekolah rendah dan sekolah menengah,”katanya.
Dia berkata, keprihatinan pengurusan Felda, Yayasan Felda dan FGV Holding Berhad, iaitu memahami keperluan ibu bapa merupakan tanggungjawab sosial yang amat dihargai oleh kalangan generasi kedua Felda di situ.
Sementara itu, Haris Salleh berkata, sebanyak RM2.25 juta diperuntukkan oleh Felda, Yayasan Felda dan FGV Holding Berhad untuk menyediakan kelengkapan persekolahan Tahun Satu di kawasan seluruh negara tahun ini.
“Hari ini, agensi tersebut telah menyumbangkan keperluan persekolahan kepada seramai 1,206 orang kanak-kanak yang akan memasuki Tahun Satu di 37 buah sekolah di kawasan Felda Wilayah Jengka tahun ini,” katanya.
Ujarnya, sumbangan itu antara usaha serta tanggungjawab sosial agensi tersebut mengutamakan pembangunan pendidikan khususnya melestarikan kebajikan ibu bapa dan penjaga murid generasi kedua di kawasan Felda.-SAHIH