REMAJA MAUT KEMALANGAN DI KM 12 JALAN JERANTUT-BENTA
REMAJA MAUT KEMALANGAN DI KM 12 JALAN JERANTUT-BENTA
JERANTUT – Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun maut dalam satu kemalangan ngeri di Kilometer 12, Jalan Jerantut-Benta berhampiran Damak malam tadi.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintenden Zukri bin Muhammad berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 8 malam ketika mangsa, Gan Kim Chuan menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC bersendirian dari arah Damak menghala ke Jerantut.
“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai gagal mengawal motosikalnya ketika melalui bahu kiri jalan sebelum terbabas dan jatuh ke tengah jalan.
“Akibat kemalangan tersebut, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Jerantut untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian.
Tambah Zukri, kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu atau berbahaya.
Polis turut mengingatkan pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati ketika memandu atau menunggang kenderaan, terutamanya di kawasan berisiko tinggi seperti jalan kampung dan selekoh tajam.
“Patuhi had laju, elakkan menunggang di bahu jalan dan pastikan kenderaan berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan,” ujarnya.
Tragedi ini menambah satu lagi angka dalam statistik kemalangan maut di daerah ini dan menjadi peringatan buat semua agar lebih berwaspada di jalan raya.-SAHIH