Kongres Nasional KEADILAN 2025 Diadakan di Johor Bahru, Guna Sistem Baharu Wakil Perwakilan
Kongres Nasional KEADILAN 2025 Diadakan di Johor Bahru, Guna Sistem Baharu Wakil Perwakilan
KUANTAN – Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) mengesahkan Kongres Nasional 2025 akan diadakan di Johor Bahru selama tiga hari bermula 23 Mei ini, dengan penglibatan lebih 30,000 perwakilan dari seluruh negara.
Menurut Setiausaha Agung KEADILAN, Dr. Fuziah Salleh, mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang berlangsung hari ini berjalan lancar dalam suasana penuh semangat ‘comradeship’ dan setiakawan antara pimpinan parti.
Mesyuarat turut membincangkan isu keanggotaan, disiplin parti, Pemilihan 2025 serta persiapan Kongres Nasional yang akan datang.
Dr. Fuziah berkata, Kongres AMK dan Wanita Nasional akan berlangsung pada 23 Mei, manakala Kongres utama pula pada 24 dan 25 Mei. “Untuk memberi kemudahan kepada perwakilan Sabah dan Sarawak, pusat undian satelit akan dibuka di Kuching dan Kota Kinabalu bagi membolehkan mereka mengundi secara fizikal tanpa perlu ke Johor Bahru,” katanya.
MPP turut menetapkan bahawa mana-mana ahli yang telah menjadi calon Pemilihan 2025 tetapi kemudiannya menyertai parti lain akan digugurkan keanggotaannya serta pencalonan mereka akan terbatal secara automatik.
Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) akan mengumumkan nama-nama terlibat dalam masa terdekat.
Menariknya, Kongres kali ini buat julung kali akan menggunakan sistem proportionate representation seperti yang telah diluluskan dalam Kongres Khas pada 15 Disember lalu. Sistem ini dijangka memberi representasi yang lebih adil dan seimbang kepada semua cabang di seluruh negara.
Dr. Fuziah turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Seri Presiden serta Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa yang mengetuai JPP atas usaha berterusan mempersiapkan Pemilihan dan Kongres akan datang.
“Segala persiapan sedang berjalan lancar dan makluman rasmi kepada perwakilan akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya.-SAHIH