RAYUAN BAPA TIDAK DIENDAH, IBU TURUT DIBUNUH ANAK SENDIRI DI KAMPUNG KEMAHANG
RAYUAN BAPA TIDAK DIENDAH, IBU TURUT DIBUNUH ANAK SENDIRI DI KAMPUNG KEMAHANG
LIPIS: Seorang penganggur telah mengelar leher bapa dan menetak serta menikam leher dan kepala ibunya dalam kejadian bunuh di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Kemahang, Jalan Benta, kira-kira pada jam 11.00 malam, semalam.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Azli Mohd Nor berkata, sebelum kejadian dikatakan lelaki (suspek) berusia 31 tahun sedang berbual dengan bapanya berusia 68 tahun dan ibunya (64) berkaitan dengan ilmu keagamaan dan ketuhanan kira-kira pada jam 10.30 malam, semalam.
“Tidak lama kemudian ibu suspek masuk ke dalam bilik dan suspek meneruskan perbualan dengan bapanya.
“Dikatakan suspek melihat mata hitam bapanya seakan hendak menyerangnya dan mengambil parang dalam bilik dan menetak bapanya sehingga ayahnya merayu ‘dah, dah, dah dan terus berlaku pergelutan,” katanya.
Katanya, sejurus mendengar bunyi di luar bilik, ibu suspek keluar dan melihat kejadian dan pergi menghampiri suaminya untuk membantu tetapi suspek terus menyerang ibunya dengan menetak dan menikam di bahagian di leher dan kepala.
“Ibu suspek terus melarikan diri keluar dari rumah dan rebah berhampiran pagar halaman rumah yang jarak kira-kira antara 100 hingga 150 meter dari jalan besar.
“Suspek turut keluar mencari ibu dan tidak menjumpai, suspek masuk semula ke dalam rumah dan berjalan kaki sehingga ke tepi jalan besar,” katanya.
Azli berkata, suspek ditahan oleh orang kampung dalam keadaan bogel dan berlumuran darah, sementara itu seorang penduduk kampung telah pergi ke rumah suspek untuk mengetahui apa yang berlaku.
“Dalam tinjauan tersebut , orang awam melihat ayah suspek terbaring atas lantai dan tidak benyawa serta lantai rumah itu dipenuhi dengan darah, mereka turut menemui ibu suspek terbaring atas rumput berdekatan pagar halaman rumah dan juga tidak bernyawa.
“Orang kampung menghubungi Balai Polis Benta memaklumkan kejadian tersebut dan menahan suspek sehingga anggota polis tiba, suspek menggunakan golok dalam kejadian ini , suspek ditahan di bawah Sek. 302 Kanun Keseksaan,” katanya.-SAHIH.