Rakyat terbeban, PAS akan tubuh jawatankuasa khas Perikatan Nasional
Rakyat terbeban, PAS akan tubuh jawatankuasa khas Perikatan Nasional
TEMERLOH – PAS akan mengambil langkah proaktif dengan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas di peringkat Perikatan Nasional (PN) dalam masa terdekat bagi merangka strategi menangani tekanan ekonomi yang semakin membebankan rakyat.
Langkah itu diambil susulan pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang dinaikkan daripada enam kepada lapan peratus serta peluasan skop cukai yang dikatakan memberi kesan langsung kepada pengguna biasa.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, jawatankuasa khas itu akan menggabungkan kepakaran tokoh ekonomi dan pimpinan utama daripada PAS, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Gerakan serta parti-parti komponen dalam PN.
“Kita akan duduk berbincang bersama bagi meneliti langkah-langkah segera yang boleh diambil untuk mengurangkan beban rakyat, bukan sekadar mendesak kerajaan, tetapi menyediakan penyelesaian yang boleh dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan ceramah umum PAS TERAJU Pahang anjuran PAS Dewan Undangan Negeri (DUN) Mentakab di Markaz PAS Paya Kecik, di sini malam tadi.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim turut mencadangkan agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim direhatkan sementara daripada jawatan tersebut bagi memberi laluan kepada siasatan terhadap kes Muhammad Yusoff Rawther dilakukan secara telus dan bebas.
“Seperti yang berlaku di Thailand, Perdana Menteri mereka turut direhatkan ketika siasatan dijalankan. Ini langkah adil kepada semua pihak dan menjaga integriti pentadbiran,” katanya.
Menurut beliau, pelaksanaan SST dan kenaikan tarif elektrik secara serentak menambahkan beban rakyat yang sedia terkesan dengan peningkatan kos sara hidup sejak awal tahun.
“Kesan dua peratus itu besar. Biarpun kerajaan kata hanya barangan mewah atau import terlibat, tetapi impaknya dirasai secara menyeluruh,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi Penerangan BERSATU Pahang, Datuk Mohd. Rofaie Hamdan berkata, program ceramah itu adalah kerjasama antara PAS DUN Mentakab dan BERSATU Bahagian Temerloh bagi menjelaskan isu-isu semasa kepada rakyat.
“Antara yang dibangkitkan termasuk pelaksanaan SST, pemansuhan subsidi petrol RON95 serta ketidakpastian dasar ekonomi kerajaan yang memberi kesan besar kepada kehidupan harian rakyat,” katanya.-SAHIH