ANGKASA catat jualan lebih RM4.6 juta menerusi Jualan Rahmah Madani
ANGKASA catat jualan lebih RM4.6 juta menerusi Jualan Rahmah Madani
KUALA LUMPUR 3 JULAI 2025 – Amanah dan kepercayaan kerajaan kepada Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) terus terbukti apabila berjaya merealisasikan Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) khusus untuk sektor koperasi.
Presiden ANGKASA, Datuk Seri Abdul Fattah Abdullah berkata, penglibatan ANGKASA dalam program anjuran Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu adalah hasil mandat kerajaan susulan Kongres Koperasi Kebangsaan 2024 yang turut disertai oleh YAB Perdana Menteri.
“Sebanyak 92 buah koperasi di seluruh negara berjaya melaksanakan PJRM dengan jualan keseluruhan mencecah RM4.6 juta. Ia dilaksanakan di 79 kawasan Parlimen dan 116 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), melibatkan lebih 106,000 penerima manfaat,” katanya.
Menurut beliau, ANGKASA bertindak sebagai penyelaras kepada koperasi terlibat menerusi kerjasama erat bersama KPDN bagi memastikan harga barangan asas yang ditawarkan lebih rendah, dengan subsidi antara 20 hingga 30 peratus.
“Pelaksanaan PJRM bukan sahaja meringankan beban kos sara hidup rakyat, tetapi turut membuka ruang ekonomi baharu kepada koperasi untuk menjalankan perniagaan barangan asas di lokasi masing-masing,” katanya.
Selain itu, PJRM juga menyediakan pelbagai pilihan produk asas yang menepati keperluan pengguna semasa serta memastikan koperasi mampu menawarkan barangan pada harga berpatutan.
Difahamkan, lebih 98 pengendali koperasi dan outlet seperti koperasi pengguna, AngkasaMart dan I-Koperasi terbabit menjayakan siri jualan yang kini telah mencecah 245 lokasi seluruh negara.
“ANGKASA akan terus komited meluaskan pelaksanaan PJRM agar lebih banyak koperasi dapat terlibat, seterusnya menjadikan sektor koperasi sebagai pemangkin kesejahteraan rakyat,” katanya.-SAHIH