Pusara Mat Kilau terus dibanjiri pelawat
Foto atas: Sebahagian pensyarah dan kaki tangan Kolej Kemahiran Tinggi MARA Kuantan menziarahi kubur Mat Kilau di Kampung Kedondong, Pulau Tawar, Jerantut.
Pusara Mat Kilau terus dibanjiri pelawat
JERANTUT – Filem sejarah Mat Kilau berkenaan kebangkitan pahlawan Melayu Pahang tersohor pada abad ke-19 dan kutipan tayangan filem tersebut telah mencapai RM70 juta dan mula menjadi bualan ramai secara tidak langsung turut memperkenalkan Kampung Kedondong, Pulau Tawar, Jerantut.
Sejak filem itu ditayangkan, kawasan Makam Mat Kilau di Pulau Tawar mula didatangi orang ramai jauh dan dekat termasuk Galeri Mat Kilau yang memaparkan bahan sejarah pahlawan itu turut dikunjungi.
Menariknya, kebanyakan pengunjung yang datang bersilih ganti melakukan aktiviti membaca Yasin, tahlil dan bergambar serta rakaman video di luar dan dalam pagar kubur tersebut.
Ketua Kampung Kedondong/Masjid, Mohd. Rozi Rozuki berkata, kehadiran pengunjung ke kubur tersebut semakin ramai semasa sambutan Hari Raya Aidiladha sejak 10 Julai 2022 hingga ke hari ini.
“Kemungkinan ramai pengunjung yang membanjiri kubur ini terdiri daripada waris Mat Kilau dari jauh dan dekat kebetulan kembali mengunjungi rumah sanak saudara di kampung ini.
“Pengunjung ke pusara Mat Kilau terdiri daripada warisnya, orang perseorangan, bersama keluarga, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi pengajian tinggi awam dan kalangan pemilik portal yang merakamkan video pendek,” katanya di Kampung Kedondong, Pulau Tawar di sini hari ini.
Katanya, penayangan filem Mat Kilau itu mencetuskan fenomena baharu sejarah Mat Kilau apabila generasi hari ini mula membuka minda mahu mengenal sejarah tokoh ini termasuk di tempat lain.
“Suasana itu menunjukkan perkembangan yang baik khususnya lokasi sejarah di kampung itu sebelum ini agak kurang mendapat sambutan orang ramai khususnya pelawat luar.
“Selain kubur, pengunjung juga mengambil peluang melawat tapak rumah tokoh di kampung tersebut serta Galeri Mat Kilau yang terletak di Kampung Bukit Rang berdekatan Jalan Jerantut ke Maran,” katanya.
Katanya, Ahli Jawatan Kuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) ini sentiasa memantau pergerakan keluar masuk pelawat ke kubur Mat Kilau untuk mengelakkan aktiviti yang tidak sesuai dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan khususnya pada waktu malam.
Seorang pengunjung, Pensyarah Pengajian Malaysia , Kolej Kemahiran Tinggi MARA Kuantan, Misrohaya Amer berkata, beliau dan rakannya melawat kubur Mat Kilau sebagai tanda menghormati perjuangan pahlawan itu.
“Sebelum ini, saya pernah beberapa kali melawat kubur ini, tetapi sudah banyak perubahan dari segi keceriaannya serta pembinaan pelbagai kemudahan di kawasan ini.
“Penayangan filem arahan Syamsul Yusof membangkitkan semula serta menitip semangat perjuangan Mat Kilau khususnya generasi hari ini sebelum ini hanya mengetahui menerusi buku sejarah,” katanya di Kampung Kedondong hari ini.-SAHIH.