PRO AKTIF BANTU PENDUDUK PEDALAMAN
PRO AKTIF BANTU PENDUDUK PEDALAMAN: ELAK KEJADIAN MANGSA TERPERANGKAP DALAM BANJIR
KUANTAN : Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan semua Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) perlu bertindak dengan lebih pro-aktif bagi memberi bantuan segera kepada penduduk terjejas banjir di luar bandar dan di pedalaman.
Titah Seri Paduka baginda, semua pihak penguatkuasa yang bertanggungjawab menjaga keselamatan penduduk daripada bencana banjir juga perlu bertindak lebih pro-aktif dengan amanah yang digalas.
Baginda gusar akan keselamatan penduduk di luar bandar dan pedalaman jika berlaku perkara tidak diingini seperti terperangkap dalam banjir dan tidak mendapat bantuan dengan segera seperti yang dilaporkan dalam berita dan media sosial.
Al-Sultan Abdullah berharap pihak penguatkuasa yang memiliki aset udara seperti helikopter supaya lebih berperanan dengan menyediakan tanda syarat agar penduduk terjejas banjir dapat melakukan hubungan kecemasan dengan pihak berkuasa.
“Beta harap pihak yang mana ada aset helikopter harus berperanan lebih aktif meninjau kawasan dan mungkin sudah sampai masa buat satu tanda syarat supaya mereka dapat membuat hubungan kecemasan.
“Sekali lagi beta ingin berpesan kepada mereka yang berada di PPS termasuk petugas supaya sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) di PPS, perlu pakai pelitup muka dan sentiasa mencuci tangan,” titah Seri Paduka ketika mencemar duli menziarahi penduduk terjejas banjir di Wisma Belia di sini, yang merupakan salah sebuah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) banjir di daerah itu.
Terdapat 180 orang penduduk daripada 43 keluarga berpindah ke PPS tersebut.