POLIS SIASAT AKTIVITI SANTAI NEELOFA, SUAMI DI LANGKAWI
POLIS SIASAT AKTIVITI SANTAI NEELOFA, SUAMI DI LANGKAWI
LANGKAWI – Selebriti yang juga usahawan terkenal, Neelofa dan suaminya, Haris Ismail akan dipanggil untuk memberi keterangan berhubung gambar dan video tular pasangan itu bersiar-siar di pulau peranginan Langkawi.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, berdasarkan video dan gambar yang dimuat naik di media sosial pasangan itu didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP).
“Apabila keluar sahaja gambar-gambar tersebut, maknanya kehadiran beliau (Neelofa) bersama suaminya itu melanggar SOP yang ditetapkan dan kita akan ambil tindakan.
“Jadi, dalam kes sebegini, wajarnya SOP polis adalah buka kertas siasatan yang mana dia (Neelofa) akan dipanggil untuk dirakamkan kenyataan termasuk berhubung gambar dan video yang viral,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Seksyen K9 Langkawi Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini, pada Ahad.
Abdul Hamid berkata, pegawai penyiasat akan mengenal pasti adakah aktiviti yang dilakukan pasangan itu sebahagian urusan perniagaan selebriti terbabit.
“Mereka kena jawab, tapi gambar itu macam aktiviti santai-santai sahaja… jelas ia tidak boleh dilakukan dan telah melanggar SOP.
“Sebabnya dia datang dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ke Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP),” katanya, lapor Bernama.
Sebelum ini, Polis Daerah Brickfields mengesahkan memberikan kebenaran kepada Neelofa dan tiga yang lain untuk ke Pulau Langkawi, atas urusan kerja.