POLIS NAFI SEKOLAH, BANK TUTUP AKIBAT COVID-19
Berita Nasional
POLIS NAFI SEKOLAH, BANK TUTUP AKIBAT COVID-19
KUANTAN: Polis menafikan sebuah sekolah rendah dan bank di bandar ini ditutup kerana berlaku kes jangkitan COVID-19 seperti yang tular di media sosial, hari ini.
Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri, berkata sesi persekolahan di sekolah rendah terbabit berjalan seperti biasa manakala operasi sebuah bank ditutup disebabkan terbabit dengan kerja pembersihan.
Katanya, selain empat masjid ditutup sementara sejak Jumaat lalu, tidak ada premis lain diarahkan menghentikan operasi kerana wabak itu.
“Orang ramai diharap tidak panik dan membuat andaian sendiri. Kita meminta orang ramai tidak menyebarkan maklumat tidak sahih kerana akan menimbulkan kebimbangan kepada awam,” katanya kepada media, hari ini.
Hari ini tular di media sosial mendakwa sebuah sekolah rendah dan bank tutup selepas seorang murid serta kakitangan bank masing-masing dikatakan mempunyai kontak rapat dengan individu yang diuji positif COVID-19, baru-baru ini.
Mohd Yusri turut meminta orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dilaksanakan Kementerian Kesihatan terutama pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal dan kerap mencuci tangan.
“Jangan mengambil mudah kerana kes COVID-19 masih belum berakhir dan orang ramai perlu mengamalkan norma baharu,” katanya.
Sumber: Berita Harian