PIKAP REMPUH PAGAR KUIL DI MENTAKAB
PIKAP REMPUH PAGAR KUIL DI MENTAKAB
TEMERLOH – Ketenangan pagi di sekitar Kuil Sri Maha Mariamman, Mentakab bertukar kecoh apabila sebuah kenderaan pikap jenis Mazda merempuh pagar rumah ibadat itu dalam kejadian di Kilometer 1, Jalan Karak – Mentakab berhampiran Persimpangan Lampu Isyarat Bukit Bendera, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.12 pagi itu, pikap yang dipandu seorang lelaki warga emas berusia 76 tahun dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar tiang lampu isyarat dan seterusnya merempuh pagar kuil berkenaan.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, pemandu terbabit merupakan seorang penyelia ladang dan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Desa Jaya selepas selesai urusan di kebun miliknya di Lanchang.
“Pemandu dipercayai gagal mengawal kenderaan sebelum terbabas ke bahu jalan lalu merempuh struktur pagar kuil.
“Mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan telah dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, Ketua Kuil Sri Maha Mariamman segera hadir ke lokasi selepas dimaklumkan oleh salah seorang sami, dan membuat laporan polis mengenai kejadian tersebut.
“Anggaran awal kerosakan melibatkan pagar dan beberapa struktur kecil kuil itu dianggarkan antara RM4,000 hingga RM5,000,” katanya.
Tambah Mazlan, siasatan awal mendapati tiada unsur alkohol atau dadah dalam badan warga emas itu. Namun begitu, beliau dikenakan satu saman kerana tidak memakai tali pinggang keledar ketika kejadian.
Kes kini disiasat mengikut Peraturan 10 LN 166/59.-SAHIH