PERLUAS PROGRAM RUMAH TANPA ROKOK
24,290 RUMAH TELAH DIDAFTARKAN
KUALA LUMPUR: Program Rumah Bebas Tanpa Amalan Merokok iaitu membudayakan amalan tidak merokok bermula dari rumah akan diperluaskan bagi menangani gejala asap rokok sekunder.
Ia akan membabitkan badan bukan kerajaan (NGO) bagi memastikan dapat dicapai dan memberi manfaat kepada masyarakat.
Menurut laporan Harian Metro, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, sehingga kini terdapat 24,290 rumah didaftarkan sebagai Rumah Bebas Tanpa Amalan Merokok.
Datuk Seri Rina Mohd Harun
Beliau berkata, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam pembangunan Garis Panduan Kaunseling Sosial Masalah Merokok Dalam Kalangan Remaja yang diguna pakai di fasiliti Kafe @TEEN LPPKN.
“Matlamat garis panduan ini adalah menjadikan remaja sihat tanpa amalan merokok dan seterusnya menjadi ejen perubahan tingkah laku kepada ibu bapa yang merokok.
Gambar Hiasan
“LPPKN mempunyai 18 pusat remaja KafeTEEN untuk remaja berumur 13 hingga 24 tahun yang menyediakan program dan perkhidmatan mempromosi dan memberikan latihan kemahiran hidup bagi tujuan gaya hidup sihat, termasuk program anti merokok dan Klinik Kaunseling Berhenti Merokok,” katanya pada sesi pertanyaan dan jawab lisan di Parlimen, hari ini.
Beliau menjawab soalan Fuziah Salleh (PKR- Kuantan) mengenai status kerjasama dengan KKM untuk menangani gejala asap rokok sekunder atau Secondhand Smoke oleh ibu bapa yang merokok.
Katanya, promosi anti merokok dilaksanakan dalam bentuk ceramah dan perbincangan kecil (TEEN Chat) serta topik ini dimasukkan sebagai aktiviti di dalam Modul Kesihatan Reproduktif LPPKN Untuk Remaja.