Peneroka pertama Jengka 24 Takluk Puncak Setinggi 6,165 Meter – Sasar Tawan Everest Pula
Peneroka pertama Jengka 24 Takluk Puncak Setinggi 6,165 Meter – Sasar Tawan Everest Pula
JENGKA – Tidak ramai tahu bahawa di sebalik deretan ladang sawit di Felda Jengka 24, tersimpan kisah luar biasa seorang peneroka berusia 62 tahun yang kini giat melatih diri untuk menakluk puncak tertinggi dunia – Gunung Everest.
Syed Abdullah bin Syed Qasim, atau lebih dikenali sebagai Pak Syed dalam kalangan pendaki gunung, bukanlah nama asing dalam dunia pendakian dan perlumbaan ultra trail.
Bermula dengan hobi mendaki sekitar tahun 2011, beliau kini telah menjejakkan kaki ke lebih 20 lokasi pendakian di Nepal termasuk Island Peak, Annapurna Base Camp sebanyak 18 kali dan Everest Base Camp sebanyak empat kali.
Namun, pencapaian terbesarnya setakat ini ialah kejayaan menawan puncak Gunung Yala dan Island Peak (Olympique) yang berketinggian 6,165 meter di Nepal pada bulan Oktober tahun lalu – sekaligus menjadikan beliau peneroka Felda Jengka 24 pertama menakluk gunung setinggi itu.
“Saya mula mendaki ikut kawan ke Gunung Bubu. Lepas tu terus rasa seronok, tak berhenti sampai sekarang.
Setiap bulan saya naik Gunung Nuang untuk latihan. Kemudian saya mula masuk perlumbaan ultra trail,” cerita Pak Syed yang kelihatan segak dan sihat meskipun sudah menjangkau usia emas.
Menurut beliau, selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semangatnya untuk mencabar diri semakin membara.
Dorongan dari seorang sahabat yang pernah menawan K2, gunung kedua tertinggi dunia, mendorong beliau menyertai perlumbaan trail sebagai persediaan fizikal dan mental ke Everest.
Kini, Pak Syed aktif menyertai pelbagai siri ultra trail termasuk dalam pelbagai kategori termasuk kategori veteran .
Antara pencapaian terbaiknya ialah dalam perlumbaan UTMB di Taiping, Perak – salah satu siri dunia yang diiktiraf.
“Berlari dalam lumpur, meredah hutan… semua itu bukan untuk kejar hadiah. Ia sebahagian latihan untuk Everest. Saya cabar diri sendiri,” katanya.
Pak Syed menyasarkan untuk menawan Gunung Everest sama ada pada tahun 2026 atau 2027 bergantung kepada penajaan dan sokongan kewangan.
Kos yang dianggarkan bagi misi tersebut mencecah RM300,000 seorang jika menggunakan pakej joint trek.
“Setakat ini saya masih mencari penaja. Tapi saya percaya, dengan izin Allah dan persiapan yang cukup, tak ada yang mustahil,” ujar beliau.
Ketika ditanya tentang cabaran terbesar di Everest, Pak Syed menyebut penyakit gunung atau Acute Mountain Sickness (AMS) sebagai faktor utama, namun yakin dapat mengatasinya berdasarkan pengalaman luas di altitud tinggi.
Dengan semangat luar biasa yang ditunjukkan, tidak mustahil Pak Syed bakal mencipta sejarah sebagai pendaki tertua dari Felda yang menawan Everest – satu inspirasi buat seluruh warga peneroka.
Sementara itu, Ketua Peneroka Jengka 24, Razak Daud berkata, seluruh komuniti peneroka amat berbangga dengan kejayaan dan semangat juang Pak Syed.
“ sebagai ketua peneroka Felda Jengka 24 , begitu berbangga dan bergembira kerana ada wakil daripada kalangan peneroka sendiri yang mengambil bahagian dalam pendakian gunung di peringkat dunia.
“Setakat ini belum ada individu daripada kelompok peneroka yang pergi sejauh ini.
Maka kami harap misi Pak Syed ke Gunung 77 miEverest akan mendapat perhatian pihak kerajaan negeri atau NGO dalam bentuk sokongan kewangan dan dana,” ujarnya.
Menurut Razak lagi, usaha Pak Syed berpotensi untuk mengharumkan nama Felda dan Malaysia di mata dunia.
Pak Syed kini giat menjalani latihan fizikal dan mental di sekitar tanah air selain merancang ekspedisi ke beberapa gunung tinggi sebagai persediaan akhir ke Everest.-SAHIH