Penantian 38 Tahun Berakhir, 195 Peneroka FELDA Triang 3 Terima Suratan Hak Milik
Penantian 38 Tahun Berakhir, 195 Peneroka FELDA Triang 3 Terima Suratan Hak Milik
BERA – Penantian selama hampir empat dekad berakhir hari ini apabila seramai 195 peneroka FELDA Triang 3 menerima Suratan Hak Milik tanah kediaman dan pertanian masing-masing yang disampaikan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Majlis penyerahan yang berlangsung di Dewan Semai Bakti FELDA Triang 3 itu turut diserikan dengan penganjuran Dimensi Mini Karnival FELDA Pahang 2025.
Turut hadir sama ialah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob Ahli Parlimen Bera(mantan Perdana Menteri) Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Pengerusi FELDA dan Datuk Amizar Abu Adam Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang.
Menurut Wan Rosdy, penyerahan hak milik tersebut merupakan satu pengiktirafan kepada pengorbanan dan kegigihan para peneroka yang membangunkan tanah kosong sehingga menjadi kawasan penempatan dan pertanian yang maju.
“Ini bukan sekadar penyampaian dokumen rasmi, sebaliknya ia merupakan bukti sah bahawa tanah ini kini menjadi milik mutlak peneroka, sekali gus boleh diwariskan kepada generasi seterusnya,” katanya ketika berucap dalam majlis berkenaan.
Beliau memaklumkan, setakat ini seramai 41,286 atau 96 peratus peneroka FELDA di seluruh negeri telah menerima hak milik, manakala 1,840 orang lagi sedang menunggu proses penyelesaian.
Kerajaan Negeri Pahang, katanya, terus komited memperjuangkan kebajikan warga FELDA melalui pelbagai inisiatif termasuk penubuhan Sekretariat Muafakat FELDA Pahang, pelaksanaan Skim Tanah Rakyat FELDA Pahang (STRFP) serta program pembangunan usahawan dalam kalangan generasi baharu FELDA.
“FELDA bukan sahaja lambang kejayaan masa lalu, tetapi turut menjadi tonggak masa depan negeri ini,” ujarnya.
Dalam majlis sama, beliau turut melancarkan inisiatif eDuit Desa Komuniti FELDA Pahang yang diperkenalkan bersama Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan institusi kewangan, sebagai langkah mendigitalisasi urusan kewangan dalam komuniti FELDA.
Bagi peneroka, Bung Sapari Jamaluddin, 69, penerimaan geran hak milik tanah itu amat bermakna selepas menanti sejak tahun 1986.
“Kami mula membuka tanah ini pada 1986. Kini, setelah 38 tahun, baru kami menerima geran ini. Rasa syukur sangat, hanya Tuhan yang tahu,” katanya.
Seorang lagi peneroka asal, Jamaluddin Johari, 66, berkata beliau datang ke tanah rancangan tersebut pada 26 September 1986, dan menunggu hampir empat dekad sebelum memperoleh hak milik yang sah.
“Proses siasatan dan pentadbiran tanah sudah berjalan lebih lima tahun, dan kini akhirnya kami menerima geran rasmi,” ujarnya.
Isterinya, Jamaliah Tarmizi, 63, menyifatkan penyerahan geran tersebut sebagai pencapaian yang amat besar dalam kehidupan mereka sekeluarga.
Penyerahan Suratan Hak Milik itu menandakan satu lagi kejayaan dalam memperkukuh hak milik dan masa depan peneroka FELDA di negeri ini.-SAHIH