Pemandu lori samun dan cederakan OKU lembam
Pemandu lori samun dan cederakan OKU lembam
JERANTUT – Seorang pemandu lori berusia 61 tahun ditahan polis kerana melakukan samun dan mencederakan seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) Lembam, pada 20 September kira-kira pada jam 10.45 pagi.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superitenden Mazlan Hassan berkata, mangsa berusia 52 tahun telah disamun dompet dan wang tunai sebanyak RM500 serta turut dipukul oleh suspek di tepi jalan dalam ladang sawit Felda Sungai Tekam.
“Sebelum menyamun mangsa, suspek mengajak masa menaiki kenderaan dan telah merampas beg duit yang mengandungi wang tunai berjumlah RM500 setelah mangsa enggan memberi beg duit.
“Mangsa turut dipukul menggunakan botol di bahagian mata dan kepala beberapa kali sehingga mangsa mengalami kecederaan,” katanya melalui kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Katanya, mangsa telah di bawa ke Hospital Jerantut oleh kakitangan Felda Sungai Tekam kerana mengalami kecederaan di bahagian kedua-dua mata dan kemudian dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) , Temerloh untuk proses CT Scan, kini mangsa dalam keadaan sedar dan stabil.
“Mangsa adalah seorang orang kurang upaya (OKU) kategori lembam dan susah untuk bercakap melainkan dengan orang yang rapat dengannya sahaja,” katanya.
Katanya, suspek mempunyai 9 rekod lampau semasa melakukan samun dan turut memandu dalam keadaan merbahayakan kepada pengguna jalan raya yang lain dan telah di viralkan di media sosial.
“Suspek ditahan reman sehingga 26 September di Mahkamah Temerloh.
“Kes di siasat di bawah Sek 394 Kanun Keseksaan yang mendatangkan kecederaan dan Sek 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.-SAHIH.