Anwar kesal dunia terus gagal bela nasib Palestin
Anwar kesal dunia terus gagal bela nasib Palestin
BANGI: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, meluahkan rasa jijik terhadap kegagalan tatanan antarabangsa dalam menangani penderitaan rakyat Palestin yang terus menjadi mangsa penindasan dan ketidakadilan.
Beliau menyifatkan kegagalan itu sebagai sesuatu yang mengecewakan apabila masyarakat antarabangsa sering memperjuangkan prinsip demokrasi dan hak asasi manusia, namun mengambil pendekatan berbeza terhadap isu Palestin.
Katanya, keadaan itu memperlihatkan percanggahan ketara dalam komitmen masyarakat antarabangsa yang selama ini mendakwa menentang penjajahan dan imperialisme.
“Apa yang begitu hipokrit ialah kegagalan masyarakat antarabangsa. Saya faham bahawa saya perlu bercakap sebagai seorang Perdana Menteri.
“Namun, saya perlu menyatakan rasa jijik yang amat mendalam terhadap kegagalan tatanan antarabangsa ini.
“Tatanan apa? Tanpa demokrasi, demokrasi siapa? Tanpa hak asasi manusia, manusia yang mana? Sedangkan manusia dilayan seperti haiwan dan hamba,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Malam Sumud Nusantara bersempena Global Sumud Congress, di sini, Selasa lalu.
Anwar yang juga Penaung Sumud Nusantara berkata, masyarakat antarabangsa bukan sahaja gagal memperjuangkan keadilan, malah masih terbatas dalam menyuarakan penentangan terhadap penindasan yang berlaku di Gaza.
Menurutnya, rakyat Palestin berhak menikmati kebebasan dan kehidupan bermaruah tanpa terus menjadi mangsa kekejaman serta penindasan.
Beliau turut mempersoalkan layanan berbeza terhadap isu Palestin berbanding konflik dan ketidakadilan lain yang mendapat perhatian masyarakat antarabangsa.
Katanya, perjuangan membela rakyat Palestin perlu diteruskan biarpun berdepan pelbagai cabaran dan kesukaran.
Anwar turut menyatakan keyakinan bahawa peningkatan kesedaran masyarakat di Amerika Syarikat, Eropah, Asia, Afrika dan Amerika Latin mampu memperkukuh usaha menegakkan keadilan untuk Palestin.
Dalam perkembangan sama, beliau menegaskan Kerajaan MADANI kekal memberikan komitmen penuh dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin, termasuk menerusi sokongan terhadap usaha Sumud Flotilla.-SAHIH
#AnwarIbrahim #Palestin #Gaza #SumudNusantara
