PELAKON JAI HO DINIKAHI ULAMA
INDIA : Menikahi Mufti Anas Sayied pada 20 November lalu dianggap sebagai pelengkap kehidupan pelakon terkenal Bollywood, Sana Khan selepas membuat keputusan meninggalkan dunia glamor.
Dalam perkongsian di akaun Instagram peribadinya, akres jelita berusia 32 tahun itu menyifatkan, pernikahan dia dengan ulama berkenaan sesuatu yang sangat indah.
“Tidak pernah terfikir percintaan yang halal akan menjadi sesuatu yang indah sehinggalah menikahi kamu,” kata Sana dalam hantaran Instagram yang diikuti oleh 3.8 juta pengikut.
Harapan Sana, perkahwinannya dengan Anas juga mendapat rahmat daripada Allah sambil berdoa agar mereka bukan sahaja bertemu di dunia, bahkan di syurga.
Selain mengumumkan pernikahannya beserta gambar bersama suaminya, Sana juga berkongsi foto-fotonya dalam pelbagai persalinan sempena hari bahagianya dengan ulama yang berasal dari Gujerat itu.
Sana Khan bersama suami mengenakan persalinan merah sempena hari bahagianya
.
Pada Oktober lalu, Sana mengumumkan pengundurannya dari gelanggang perfileman Bollywood selepas 15 tahun bergiat aktif sehingga menempa kemasyhuran dan kekayaan.
Keputusan mengejutkan jelitawan yang menempa nama menerusi filem Jai Ho itu diambil selepas dia menyedari kerja-kerja seni yang dilakukan tidak menggembirakannya.
Sebelum keputusan meninggalkan bidang glamour diambil, Sana tertanya-tanya apakah makna sebenar kehidupan seorang manusia semata-mata mengejar kekayaan dan kemasyhuran?
Bertitik tolak pada kesedaran yang diperoleh, Sana akhirnya memilih untuk memberi tumpuan pada kehidupan hari esok dengan mengabdikan diri pada Yang Maha Esa.
Sana juga berdoa semoga Allah akan menghapuskan segala dosa dan kekhilafan yang pernah dilakukannya sebelum ini.
Sepanjang bergelar pelakon, Sana pernah membintangi 14 buah filem dalam lima bahasa iaitu Hindi, Malayalam, Tamil, Kannada dan Telugu.