Pelajar IPGKDRI turun padang bersih sekolah banjir
Pelajar Institut Pendidikan Guru Kampus Datuk Razali Ismail (IPGKDRI), Batu Rakit, Terengganu, telah memberi khidmat kemasyarakatan yang dipuji sebelum melangkah ke alam pekerjaan yang sebenar sebagai seorang guru.
Kumpulan pelajar IPG itu seramai kira-kira 30 orang telah memilih Sekolah Kebangsaan (SK) SK Tapah sebagai lokasi program membersih sekitar bangunan sekolah itu yang dilanda banjir di sana, baru-baru ini.
Pensyarah Penasihat, Safri Aziz memberi taklimat pergerakan dalam melaksanakan program itu dan membahagikan kumpulan besar dan sasaran tugasan serta kawasan pelajar terbabit harus selesaikan.
Katanya, di samping itu semua pelajar, pensyarah serta staf pengiring menjalani ujian saringan Covid-19 sebagai langkah berjaga-jaga dan ujian itu juga akan diadakan sekali lagi sebelum pulang ke IPGKDRI pada hari akhir program sebagai mengelak perkara yang tidak diingini berlaku.
“Agihan tugasan diberikan mengikut kumpulan dengan memulakan kerja membersihkan dewan terbuka dan makmal sains sekolah berkenaan terlebih dahulu untuk dijadikan sebagai ruangan solat serta tempat memasak kerana sepanjang program berlangsung mereka akan menetap di SK Tapah sehingga selesai tugasan.
“Ini disebabkan sekolah ini dilanda banjir yang agak teruk dan situasi sekolah yang harus dibersihkan memberi cabaran dan pengalaman baharu kepada pelajar IPG ini secara tidak langsung dapat mempraktikkan tugasan sukarelawan,” katanya.
Ketua program, Muhammad Alif Danial Lukman berkata, kerja gotong royong itu mengajar mereka berkerjasama dalam menyelesaikan cabaran, dan ini bakal dihadapi ketika kami melangkah ke alam pekerjaan guru yang sebenar.
“Kami berterima kasih kepada pensyarah penasihat dan beberapa pensyarah lain yang turut memberi bimbingan dan memantau kerja kami, bagus juga ‘latihan’ lapangan ini secara amali memberi kekuatan mental dan fizikal,”katanya.
Pengarah IPGKDRI, Dr Narita Mohd Noor yang turut serta melahirkan rasa bersyukur kerana sukarelawan terbabit melaksanakan tugas dengan sempurna selain meringankan bebanan pihak pengurusan SK Tapah dalam kerja pembersihan.
“Saya berharap semua mereka dapat mempraktikkan tugasan sukarelawan daripada pengalaman pertama itu supaya dapat menghulurkan bantuan kepada pihak yang memerlukan pada masa akan datang dengan membawa imej baik IPGKDRI ini,” katanya. -SAHIH.