PASTIKAN i-SINAR, BUKAN i-DIE
KWSP PERLU PEKA DENGAN TEKANAN DIHADAPI PENCARUM
PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Razak menggesa Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memperluaskan pengeluaran dari Akaun 1 kepada golongan yang berdepan pemotongan gaji akibat COVID-19.
Menurut laporan FMT, bekas perdana menteri itu berkata, beliau pada awalnya menganggarkan 4.7 juta ahli akan mendapat manfaat daripada skim i–Sinar, dengan jumlah pengeluaran mencecah RM47 bilion.
BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak
Namun, beliau mendapati KWSP menganggarkan hanya 2 juta ahli akan membuat pengeluaran berjumlah RM14 bilion kerana syarat kelayakan mengehadkan mereka yang hilang pekerjaan, diberi cuti tanpa gaji atau tiada sumber pendapatan lain.
“KWSP perlu faham bahawa kita tidak boleh sasar kepada mereka yang hilang kerja saja, tetapi golongan paling besar ialah mereka yang pendapatan bulanan berkurang akibat gaji dipotong, elaun dipotong, komisen berkurang serta jumlah hari bekerja atau OT dipotong.
“KWSP tidak boleh terlalu bersyarat sebab kita tidak mahu skim i-Sinar menjadi skim i–Die bagi golongan yang tidak layak hanya sebab mereka tidak hilang kerja, walaupun sudah amat terdesak setelah pendapatan mereka turun akibat COVID-19,” katanya dalam catatan Facebook hari ini.
Beliau menggesa KWSP membuka skim i–Sinar kepada mereka yang berdepan pengurangan pendapatan sebanyak 20 peratus atau lebih akibat pandemik.
Beliau mengingatkan kegagalan berbuat demikian mungkin menyebabkan ramai yang sengaja berhenti kerja atau dibuang kerja untuk memenuhi kelayakan memohon skim i–Sinar.
KWSP mengumumkan i–Sinar ialah lanjutan daripada kemudahan pengeluaran i–Lestari yang kini mencapai anggaran pengeluaran RM30 bilion dan akan berakhir Mac 2021.