ALOR SETAR: Padah menunggang motorsikal secara merbahaya, dua penunggang motorsikal ditahan dalam Ops Samseng Jalanan.
Kedua-dua lelaki itu ditahan dalam dua operasi berasingan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, B-S-P-T Kota Setar dan Kulim di sekitar Kuala Kedah dan Kulim.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) IPK Kedah, Superintendan Mohd Mahiri Hussin berkata, dalam operasi di Jalan Padang Garam, Kuala Kedah pada petang Sabtu lalu, seorang buruh berusia 21 tahun ditahan selepas dikesan menunggang motorsikal dengan melakukan aksi zig-zag.
Perbuatan lelaki berkenaan yang dilakukan berulang kali mengganggu pengguna jalan raya yang lain.
Sementara itu, dalam operasi berasingan di Jalan Phong Ah Yong, Kulim, awal pagi semalam, seorang buruh berusia 32 tahun ditahan selepas membuat aksi merbahaya dengan mengangkat tayar hadapan.
Kedua-dua lelaki berkenaan ditahan dan disiasat dibawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan, A-P-J 1987.
Manakala kedua-dua motorsikal disita.
Dalam kedua-dua operasi itu juga, sebanyak 58 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
Antaranya, ubahsuai motorsikal, tiada lesen memandu, tiada lesen kenderaan motor dan memandu dibawah umur.-SAHIH
FOTO: IHSAN PDRM
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Tiga sekeluarga maut dalam kemalangan Jalan Rompin-Kuantan
ROMPIN – Tiga sekeluarga maut di tempat kejadian dalam kejadian kemalangan yang melibatkan dua buah kenderaan di Jalan Batu 3, Jalan Rompin- Kuantan, hari ini.
Kemalangan yang meragut 3 nyawa itu berada di dalam kereta Perodua Kancil , manakala seorang mangsa pemandu van mengalami kecederaan, kejadian berlaku pada jam 1.30 petang.
Kemalangan meragut tiga nyawa di Batu 3, Jalan Rompin-Kuantan, hari ini
Sepasukan anggota Bomba dari Balai Bomba Rompin seramai 10 orang telah dikerahkan ke lokasi kemalangan yang melibatkan dua kenderaan itu dan menggeluarkan semua mangsa.
Semua mangsa disahkan maut oleh petugas Kementerian Kesihatan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Hari raya hampir tiba, lemang menjadi salah satu juadah popular. Beberapa petua untuk membeli lemang yang sudah siap dibakar. Petua ini untuk membantu pembeli mendapatkan lemang yang terbaik
1. Cari gerai lemang yang banyak kayu
Dinasihatkan anda mencari gerai lemang yang banyak kayu. Sebab kebiasaanya gerai lemang yang banyak kayu ini akan membakar lemang digerai tersebut dan sahaja dekat bara api.
2. Jangan pilih lemang yang terlalu besar atau terlalu kecil
Buatlah pemilihan yang bijak, tak semestinya lemang yang besar rasanya sedap. Ambil yang sedang-sedang sahaja sebab yang besar tidak semestinya dimasak dengan sempurna. Apabila kita potong lemang yang besar ini, keliling lemang memang masak namun di bahagian tengah masih lagi dalam kondisi pulut. Jadi seeloknya belilah yang kurus serta kecil, peluang untuk garing tu amat tinggi. Sebab total surface area yang kena haba sangat besar.
3. Minta tauke lemang belah dahulu bahagian bawah lemang
Sebolehnya minta tauke belah dahulu bahagian bawah lemang tu. Ini kerana nak bakar lemang orang akan pakai hipotesis. Jika bahagian bawah lemang masak, maka bahagian atas lemang juga akan masak. Sesetengah orang jual lemang, dia akan belah bahagian atas. Lepas tu tunjuk dekat pelanggan dan kata lemang masak. Kita pun beli namun menyedihkan bila potong bahagian bawah masih lagi tak masak. Kesian.
4. Jangan singgah kedai lemang yang guna kayu pallet
Jangan sesekali singgah beli lemang di gerai yang menggunakan kayu pallet sebagai kayu bakar lemang. Tolong jangan! Sebab gerai yang pakai pallet ini berbahaya sewaktu bakar lemang tersebut. Kalau anda perasan, pallet kayu ini jarang anai-anai sentuh kan?
Ya, sebabnya pallet kayu ini telah diracun dengan sejenis chemical khas untuk mengelakkan anai-anai makan. Jadi kalau pallet tersebut dibakar secara tidak langsung ia akan menghasilkan gas berbahaya. Walaupun kita tak nampak mungkin lemang tersebut sudah terkena tempias.
5. Kalau beli banyak cuba minta diskaun
Kalau anda beli 3 batang ke atas rasanya tak salah kan minta diskaun. Tapi janganlah minta diskaun gila-gila. Kesian la dekat orang yang bakar lemang siang malam tu, ingat senang ke nak kawal api. Hari-hari pedih mata tau!
6. Pilih bahagian atas lemang yang sudah kering
Sewaktu membeli lemang yang dah masak, ambil lemang yang bahagian atasnya yakni ‘kepala’ yang sudah kering. Apabila kepala sudah kering, kita boleh simpan lama sikit, paling lama 2 hari. Walaupun kepala tersebut nampak kotor atau tidak elok, jangan buang! Bahagian tersebutlah yang paling sedap bagi sebatang lemang. Sebab lemak-lemak santan yang mendidih dah terkumpul di bahagian atas. So dia rasa masin-masin sikit dan berlemak. Memang sedap!
7. Terbalikkan lemang upside down
Kalau nak simpan lemang untuk 2-3 hari, ada caranya. Terbalikkan lemang upside down dan biar dia berdiri. Sandar la kat mana-mana pun. Sebab minyak di bahagian atas sekali yang boleh buatkan dia basi.
8. Bau dahulu kepala lemang
Sebelum korang beli lemang, pastikan bau dahulu kepala lemang tersebut. Takut ada lemang yang dah 2 hari ke atas. Kalau dah basi, selalunya bau masam basi macam tu.
Akhir sekali, sedikit pesanan kepada pembeli-pembeli sekalian. Anda sebagai pembeli ada hak. Namun, kena jaga adab antara pembeli dan penjual. Kalau ada masalah ke apa ke, kawtim dulu dengan tauke lemang. Sekarang zaman viral, lemang tak masak sikit dah viral. Kesian kat peniaga lemang ni, dah la berniaga lemang setahun 2 kali. Kena viral pulak, terus lingkup.
Anda ada kuasa membeli, kalau tempat tu jual mahal, pergi tempat lain. Tapi kalau mahal, berbaloi dan memang puas hati, apa salahnya kita beli. Benda makanan jangan berkira tuan puan, kopi hipster RM20 secawan beli tak komplenpun.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Penyeludup nekad terjun tinggalkan 200 kg daun ketum
KANGAR – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu Langkawi menahan sebuah sampan kayu setelah tekongnya melarikan diri berhampiran Pulau Ketam, dekat sini pada jam 4.30 awal pagi semalam..
Komander PPM Wilayah Satu, Asisten Komisioner Polis Shamsol Kassim berkata, dalam serbuan terbabit pihaknya menemui 20 bungkusan plastik hitam disimpan di bahagian hadapan sampan kayu tersebut mengandungi daun ketum.
Bungkusan daun ketum ditinggalkan oleh penyeludup
Katanya, daun ketum itu dibawa menuju ke arah sempadan laut Malaysia – Thailand sebelum berjaya dikesan oleh bot ronda PPM.
“Panik akibat dikesan oleh bot ronda penguatkuasa, suspek seorang lelaki dipercayai tekong sampan kayu tersebut nekad memecut laju ke arah pantai sebelum meloloskan diri di kawasan hutan bakau berdekatan.
“Pemeriksaan lanjut dibuat di atas sampan kayu berkenaan menemui kira-kira 200 kg bungkusan plastik hitam disorok di bawah kanvas biru di bahagian hadapan sampan.
“Keseluruhan daun ketum dan sampan kayu berserta enjin dianggarkan bernilai RM 15,000 dan kesemua rampasan kemudiannya dibawa ke IPD Kangar untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Malaysia antara 58 negara memilih mengundi berkecuali-isu Rusia
KUANTAN : Malaysia antara 58 negara memilih mengundi berkecuali terhadap isu penggantungan keahlian Rusia dalam Majlis Hak Asasi Manusia (MHAM) pada pengundian Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sesi ke-11, baru-baru ini.
Menteri Luar, Dato’ Sri Saifuddin Abdullah menjelaskan perkara itu dibuat bagi mengulangi prinsip Malaysia untuk tidak menyokong sebarang tindakan mempolitikkan isu-isu yang dibentangkan di MHAM.
Menurut beliau, pihaknya dalam perhimpunan terbabit turut menekankan agar sebarang keputusan melibatkan penggantungan keanggotaan ahli MHAM perlu dteliti dan dibincangkan terlebih dahulu.
Jelasnya, sebelum 7 hari bulan majlis hak asasi manusia di mana malaysia adalah anggota sekarang membuat keputusan harus ada siasatan dan kita bersetuju untuk ada siasatan tetapi ada resolusi dari beberapa buah negara bawa juga ke perhimpunan bangsa-bangsa bersatu untuk mengantung keanggotaan rusia dalam majlis hak asasi manusia apabila timbul keadaan begini malaysia tiada pilihan semasa mengundi kita mengundi tetapi kita mengambil membuat undian berkecuali. “. ”
Sebelum ini, dalam proses tersebut, keputusan menetapkan Rusia digantung keahlian apabila 93 negara menyokong, manakala 24 negara membantah dan 28 negara mengambil tindakan untuk tidak mengundi.
Beliau berkata demikian ketika sesi sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Persatuan Hindu Sanggam di Kuantan, Pahang.
Dalam perkembangan lain, beliau yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota turut menjelaskan mesyuarat kabinet 6 April lalu bersetuju Perlembagaan Persekutuan dipinda terlebih dahulu Isnin ini, sebelum pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Anti Lompat Parti dilakukan.
Menurutnya, memang sebulat suara membuat keputusan yang pertama dan ini pun pandangan peribadi saya juga pertama ialah undang-undang untuk atau undang-undang berkaitan lompat atau beralih parti ini memang diperlukan cuma ianya memerlukan penghalusan untuk menggelakkan daripada niat atau matlamat yang baik..Kalau tak betul cara ia digubalkan boleh mendatangkan kesan yang berlainan” katanya
Ia melibatkan pindaan dengan memasukkan fasal baharu ke dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang berkait dengan kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan.
Beliau mengulas lanjut perkara tersebut, selepas terdapat media melaporkan berlaku pertelagahan ahli kabinet mengenai pindaan Perlembagaan Persekutuan yang akan dilaksanakan kelak.- SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Nur Nabilah Selamat Tiba, teruskan Rawatan Di HUKM
SEPANG : Pelajar tahun akhir Sarjana Muda Pengurusan Pelancongan, Universiti Utara Malaysia, UUM, Nur Nabilah Mohd Azahar yang terlibat dalam kemalangan di Curacao, Caribbean pada hujung tahun lalu telah selamat tiba di tanah air, Jumaat lalu.
Pesawat yang membawa Nur Nabilah itu telah mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 8 malam.
Ketibaan Nur Nabilah telah disambut Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah bersama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed, pegawai-pegawai kanan dari Wisma Putra dan UUM serta ibu bapanya, Mohd Azahar Zakaria dan Nor Manira Khalib.
Prof. Dr. Haim Hilman berkata, beliau bersyukur ke hadrat Allah kerana pelajar yang dikasihi, Nur Nabilah telah kembali ke tanah air untuk mendapatkan rawatan susulannya.
Menurutnya, beliau berterima kasih kepada Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), ibu bapa dan keluarga Nur Nabilah serta warga UUM yang telah mendoakannya.
Di samping itu, beliau juga berterima kasih kepada Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Luar Negeri dan semua pihak terlibat yang membantu UUM dalam urusan rawatan Nur Nabilah di sana.
“Nur Nabilah akan meneruskan rawatan susulan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) dan saya berharap dia dan keluarganya kuat dan tabah serta kuat semangat untuk teruskan rawatan ini,” katanya.
Sementara itu, ibu Nur Nabilah, Nor Manira mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang banyak membantu dalam urusan rawatan anaknya di sana khususnya Wisma Putra, Kementerian Pengajian Tinggi dan juga UUM.
“Alhamdulillah akhirnya anak saya berjaya dibawa pulang di atas kerjasama semua pihak terbabit dan saya rasa amat bersyukur kerana dapat melihat anak saya kembali dengan selamat.
“Di samping itu, ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor yang sentiasa berhubung bertanyakan perkembangan Nur Nabilah sehingga kini,” katanya.
Kegembiraan menyambut ketibaan Nur Nabilah turut dikongsikan bersama rakan baiknya, Aiman Qistina Balqis Azman yang dikenali lebih tujuh tahun lalu.
Katanya, dia berasa gembira dan pada masa sama rindu untuk bertemu rakan baiknya itu sehingga sanggup mengambil cuti semata-mata ingin menyambut kepulangan Nur Nabilah atau lebih dikenali sebagai Bella.
“Saya berharap Bella akan menerima ‘positive energy’ dan segera sembuh serta dipermudahkan segala urusannya dengan lancar,” katanya juga pelajar Sarjana Muda Pengurusan Pelancongan.
Nur Nabilah terlibat dalam kemalangan ketika menjalani latihan industri di Dive Division Curacao, Caribbean pada 28 Disember 2021 bagi tempoh enam bulan di negara tersebut, sejak berlepas ke sana pada September 2021.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas: Pengerusi Amanah Raya Berhad, Datuk Ramli Mohd Noor (tengah) menyampaikan sumbangan itu dengan kerjasama JKM.
Amanah Raya sumbang 1,000 bakul makanan
CAMERON HIGHLANDS – Program Ziarah Komuniti Amanah Raya Berkat Ramadan menyumbang sebanyak 1,000 bakul makanan di 11 buah negeri di Semenanjung dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Pengerusi Amanah Raya Berhad, Datuk Ramli Mohd Noor berkata, sumbangan itu dengan kerjasama JKM dilaksanakan bermula sambutan bulan Ramadan di negeri di bawah pengurusan pejabat Amanah Raya Berhad.
“Amanah Raya telah melancarkan inisiatif program tanggungjawab sosial korporat (CSR) terhadap mereka yang kurang berkemampuan khususnya bagi meringankan beban ketika membuat persiapan berbuka puasa di bulan Ramadan ini.
“Sumbangan ini dilakukan oleh pegawai daripada Ibu Pejabat Amanah Raya Berhad, Kuala Lumpur serta cawangan wilayah di beberapa buah negeri,” katanya selepas pelancaran program CSR Berkat Ramadan, di sini, baru-baru ini.
Turut hadir, Pengarah Bahagian Pemasaran dan Komunikasi Amanah Raya, Siti Azura Shamsuddin dan Pengurus Kanan Wilayah Timur Amanah Raya, Tuan Noraizan Tuan Long
Sementara itu, Siti Azura berkata, Amanah Raya menyediakan 250 bakul makanan berupa barang keperluan dapur diedarkan ke setiap empat wilayah yang terdiri daripada negeri Johor, negeri Sembilan, Selangor, Kuala Lumpur, Perak, Pahang, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan.
“Ada negeri sudah melaksanakan program CSR ini seminggu sebelum umat Islam menyambut bulan puasa khususnya penduduk yang kurang berkemampuan di kawasan yang agak jauh dari bandar terpilih untuk program kebajikan ini.
“Terbaharu, kita telahpun menziarahi empat orang bekas homeguard berusia antara 90 hingga 111 tahun di Lipis, Pahang (Wilayah Timur) untuk menyampaikan sumbangan barang keperluan dapur sebagai persiapan bulan Ramadan,” katanya.
Sementara itu, seorang penduduk Tanah Rata, Ilias Abdullah, 54, berkata, dia bersyukur dan berterima kasih kepada Amanah Raya Berhad kerana sumbangan barang keperluan dapur bagi meringankan beban perbelanjaannya menyediakan juadah berbuka puasa.
“Terima kasih kepada Amanah Raya menghulur bantuan barang keperluan dapur dan membolehkan saya menyediakan juadah berbuka puasa untuk tempoh dua minggu dan boleh berjimat cermat , “ katanya. –SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas: Datuk Seri Wan Rosdy menyampaikan sumbangan BPP kepada Amar Hakim Jamil, 20 tahun dari Kg Keledek di majlis tersebut.
Kerajaan Negeri Pahang peruntuk BPP RM29.910 juta
LIPIS – Kerajaan Negeri Pahang memperuntukan hampir RM30 juta menerusi pemberian Bantuan Prihatin Pahang (BPP) 2022 secara one-off.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pemberian BPP itu melibatkan 297,013 penerima daripada empat kluster sasaran iaitu Kluster Pelajar dan Anak Muda, Kluster Golongan B40, Kluster Umum serta Kluster Apresiasi.
Datuk Seri Wan Rosdy menyampaikan sumbangan kepada 426 orang penerima yang terdiri daripada golongan kurang berkemampuan seperti anak-anak yatim, Orang Kurang Upaya (OKU) dan ibu tunggal dari 13 kampung di sekitar kawasan Jelai.
“BPP secara bersasar ini disalurkan pada bulan ini (April) hingga Julai dimulai dengan pemberian Sumbangan Awal Persekolahan membabitkan 25,146 pelajar tahun 1 yang menerima RM100 tunai dengan jumlah peruntukan sebanyak RM2,514,600.
“Seramai 3,600 anak muda lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pula akan menerima RM200 tunai bagi mengambil lesen motosikal dengan nilai peruntukan RM720,000.
“Selain itu, 9,000 orang veteran tentera dan polis, 4,500 nelayan, lebih 10,000 penjaja harian, hampir 1,000 pemandu teksi, lebih 40,000 pelajar universiti, 700 pelajar anak yatim, 7,000 ibu tunggal, 2,000 pengusaha e-hailing, serta 851 pengusaha bot dan pemandu pelancong menerima sumbangan RM200 tunai membabitkan peruntukan hampir RM16 juta “katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Penyampaian BPP dan Sumbangan Ihya Ramadan 1443 Hijrah Dengan Kerjasama Yayasan Pahang di Laman Sejahtera Jelai, Felda Sungai Koyan 1 di sini, hari ini.
Wan Rosdy yang juga Adun Jelai berkata, turut menerima peruntukkan BPP sebanyak RM300 tunai ialah 200 penggiat media sosial seperti blogger, influencer dan youtuber.
“Seramai 2,400 pelajar tahfiz dan 500 gelandangan akan menerima RM100 manakala lebih 25,000 calon yang menduduki SPM dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) tahun ini akan menerima RM100 dalam bentuk tambah nilai (top up) dengan nilai peruntukan lebih RM2.877 juta.
“Bantuan Kerajaan Negeri ini turut melibatkan sumbangan kotak Aidilfitri kepada penduduk kampung dan masyarakat orang Asli dengan nilai peruntukan RM6.53 juta,”katanya.
Wan Rosdy menjelaskan, pemberian BPP itu dapat dilaksanakan berdasarkan keupayaan kedudukan kewangan Kerajaan Negeri yang kukuh pada masa kini.
“Seperti mana yang saya sering nyatakan, setiap hasil yang Kerajaan Negeri perolehi akan di pulangkan semula kepada rakyat agar kita semua dapat berkongsi rezeki demi kemakmuran dan kesejahteraan bersama.
“Saya percaya, sekiranya sasaran hasil RM1 bilion pada tahun ini tercapai, tidak mustahil Kerajaan Negeri berupaya untuk meneruskan lagi bukan sahaja BPP tetapi juga bantuan-bantuan lain untuk rakyat di negeri ini,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas: Nor Faizah Mohamad Hamizam sedang mendukung Nur airis Maisarah Mohd Zulkarnaen yang menderita buah pinggang bocor bersama seorang anaknya berusia 14 tahun di di No. 21, Rancangan Tanah Pemuda (RTP) Kampung Bukit Dinding, Jerantut, Pahang hari ini.
JERANTUT – Seorang ibu muda memerlukan bantuan untuk membiayai rawatan anak bongsunya yang mengalami penyakit buah pinggang bocor.
Ibu muda itu, Nor Faizah Mohamad Hamizam, 31, berkata, anak bongsunya itu turut menderita penyakit usus dan hati sejak berusia dua tahun, tetapi pulih setelah mendapat rawatan dan pembedahan Hospital Tunku Azizah Kuala Lumpur (HTAKL) penghujung tahun lalu.
Nor Faizah Mohamad Hamizam memangku Nur airis Maisarah Mohd Zulkarnaen yang menderita buah pinggang bocor di No. 21, Rancangan Tanah Pemuda (RTP) Kampung Bukit Dinding, Jerantut, Pahang hari ini.
Katanya, dia memerlukan perbelanjaan untuk membeli susu, lampin pakai buang, ulang alik ke HTAKL termasuk persekolahan tiga orang anak sehingga mencecah RM3,000 sebulan.
“Anak saya, Nur Airis Maisarah Mohd Zulkarnaen yang berusia tiga tahun lima bulan yang mengalami penyakit buah pinggang bocor dan memerlukan rawatan susulan dan memerlukan perbelanjaan yang besar.
“Suami saya, Mohd Zulkarnaen Idham Zaabar, telah meninggal dunia pada 31 Januari 2022 ketika berusia 37 tahun akibat penyakit kencing manis yang kronik serta ditambah komplikasi jangkitan kuman dalam darah, asid dalam darah dan hati,” katanya di rumahnya di Rancangan Tanah Pemuda (RTP) Kampung Bukit Dinding, Jerantut, hari ini.
Katanya, kini tanggungjawab dipikul olehnya untuk mencari rezeki dan sedang berusaha mencari kerja untuk perbelanjaan keperluan dapur, perubatan Nur Airis Maisarah dan persekolahan tiga orang anak berusia 10 , 12 dan 14 tahun.
“Saya menjual ketupat cuma memperoleh pendapatan kecil sahaja akibat ancaman wabak Covid-19 dan kemudiannya makanan itu dijual secara hantar dan bayar, malah lama-kelamaan kekurangan pelanggan.
“Saya pernah menerima sumbangan daripada kerajaan negeri, tetapi kesemua wang itu dibelanjakan untuk rawatan dan pembedahan anak saya yang mengalami penyakit bahagian usus dan hati tahun lalu,” katanya.
Dia merayu kepada orang ramai yang ingin menyumbang bolehlah salurkan bantuan dengan menghubungi Nor Faizah Mohamad Hamizam menerusi talian 013 6958230 atau terus ke akaun Bank Simpanan Nasional, nombor akaun 0610541100001386 (Nor Faizah).
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas: Hamidi Madtap mengangkut kotak kurma yang disumbangkan aktivis masyarakat dan ahli JPKK.
JPKK Jorak Elahi sumbang 550 kotak kurma kepada penduduk
BATU PAHAT – Ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Jorak Elahi, Batu Pahat dan dua aktivis masyarakat, berkongsi rezeki dengan mengagihkan 550 kotak kurma kepada penduduk pada awal Ramadan lalu.
Ketua Kampung Parit Jorak Elahi, Mohd Hamidi Madtap berkata, usaha murni itu wajar dijadikan contoh kepada mereka yang berkemampuan untuk menghulurkan sumbangan termasuk makanan kepada penduduk sempena Ramadan.
Hamidi melihat kotak kurma yang diagihkan kepada penduduk Kampung Parit Jorak Elahi dan Kampung Tasek Merdeka baru-baru ini
Katanya, dia terkejut apabila dimaklumkan dua aktivis tersebut, Khairul Fauzi dan Syed Mohsin yang turut dalam menghulur sumbangan peribadi untuk membeli kurma dan diagihkan kepada penduduk kampung untuk dinikmati ketika berbuka puasa.
“Dalam keadaan ekonomi sekarang apabila harga barang melambung tinggi tidak semua penduduk terutama dalam kalangan keluarga miskin dan asnaf mampu mendapat segala keperluan untuk sepanjang Ramadan.
“Sumbangan kurma ini walaupun nampak kecil bagi sesetengah orang namun ia besar ertinya kepada penduduk terbabit dan saya berasa terharu dapat mengembirakan ahli keluarga mereka berkenaan terutama ketika berbuka puasa,” katanya.
Katanya, dia sentiasa mengalu-alukan jika ada pelbagai pihak untuk bersedia berkongsi rezeki dengan penduduk terbabit yang sekurang-kurang menyedarkan mereka tidak disisihkan begitu sahaja tanpa dibantu seperti dilakukan dalam aktiviti kebajikan kemasyarakatan sepanjang tempoh pandemik Covid-19,” katanya yang juga Ketua UMNO Cawangan Jorak Elahi, Batu Pahat.
Hamidi berkata, kurma berkenaan sudah diagihkan ke setiap rumah penduduk di sekitar Kampung Parit Jorak Elahi dan Kampung Tasek Merdeka oleh beberapa ahli JPKK dan ahli jawatankuasa UMNO cawangan terbabit bermula 1 April 2022 lalu termasuk kepada keluarga daripada dalam kalangan miskin dan asnaf itu.
Menurutnya, sebagai ketua kampung yang memikul tanggungjawab besar dalam membela nasib penduduk serta pembangunan sentiasa bersedia membantu mereka yang ditimpa masalah khusus bencana alam.
“Bagi kami semua penduduk adalah sama walaupun mempunyai perbezaan pendapat dari segi beberapa perkara namun dalam menyelesai masalah musibah ini pelbagai syak wasangka perlu diketepikan dahulu sebaliknya berganding bahu demi kebaikan serta sejahteraan hidup,” katanya. –SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!