Lebuhraya Karak-KL dilebarkan dan terowong ke-3 dibina
LIPIS : Kerajaan melalui Kementerian Kerja Raya (KKR) telah meluluskan cadangan pelebaran lorong lebuhraya Kuala Lumpur – Karak (KLK) serta sebuah terowong ketiga bakal dibina oleh pihak ANIH Berhad
Cadangan Pelebaran Lebuhraya KL-Karak itu dijangka akan dapat menyediakan lebuh raya yang selesa, cepat, mudah dan cekap serta menangani isu kesesakan yang sering berlaku di Lebuhraya KL-Karak terutamanya pada musim perayaan, cuti umum dan hujung minggu.
Timbalan Menteri Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad
Timbalan Menteri Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, KKR sentiasa cakna dengan keluhan rakyat yang terpaksa menghabiskan berbelas jam untuk pulang ke kampung terutama ketika musim perayaan.
“Kesesakan luar biasa sering berlaku pada waktu puncak menjelang hari perayaan, cuti umum dan hujung minggu oleh itu Lebuhraya KLK sepanjang 45.3 kilometer dengan kos RM 2.1 Bilion akan dibina.
“Pembinaan ini untuk memberi kemudahan kepada orang ramai khususnya pengguna yang kerap menggunakan laluan tersebut, maka kerja pelebaran ini merupakan usaha kerajaan untuk memberi keselesaan kepada rakyat pada masa hadapan,” katanya baru-baru ini.
Katanya, kerja pelebaran KLK tersebut akan bermula dari Plaza Tol Gombak ke Persimpangan Mempaga, Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (Central Spine Road) di Bentong dengan menambah satu lorong daripada tiga lorong sehala sedia ada kepada empat lorong sehala.
“ini melibatkan dari Seksyen 1, dari Plaza Tol Gombak ke Bukit Tinggi dan daripada dua lorong sehala sedia ada kepada tiga Lorong sehala bagi Seksyen 2 iaitu dari Bukit Tinggi ke Plaza Tol Bentong, sepanjang 45.3 kilometer.
“Kerja ini turut melibatkan tambahan pembinaan sebuah terowong dua lorong baharu yang akan dibina bersebelahan dengan terowong sedia ada arah Timur dan penyediaan lampu jalan di sepanjang jajaran yang terlibat dengan kos keseluruhan RM2.1 billion,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Kesatuan guru bakal lumpuh, kepimpinan diarah letak jawatan
PENTADBIRAN dan peranan kesatuan guru bakal lumpuh apabila pemimpin kesatuan yang berjawatan diarahkan meletak jawatan dalam kesatuan sekiranya diambil alih oleh guru baharu yang masih cetek dalam pentadbiran berkesatuan.
Mantan Presiden Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Datuk Mohd Sabri Arshad berkata, kita kena fikir kesatuan sekerja semua agensi dan badan perkhidmatan awam serta swasta diwujudkan.
Mantan Presiden Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Datuk Mohd Sabri Arshad berkata, kita kena fikir kesatuan sekerja semua agensi dan badan perkhidmatan awam serta swasta diwujudkan.
Katanya, kesatuan adalah sebagai satu badan penghubung antara majikan dengan pekerja demi keharmonian , kebertanggungjawaban, ketelusan, menjaga kebajikan dan menggelak daripada berlaku sebarang pertikaian.
“Maka wakil kesatuan memerlukan barisan kepimpinan yang berwibawa dan mampu membawa isu pekerja kepada pihak majikan dan pihak berwajib untuk menyampaikan keperluan kesatuan demi ahli itu sendiri.
“Kepimpinan yang terbaik datang dari kalangan pekerja yang bermotivasi, berperwatakan tinggi dan mempunyai semangat juang yang tidak pernah berasa putus asa, biasanya kepimpinan ini dari kalangan pekerja yang berjawatan kerana mereka ini memiliki asas kepimpinan dalam sesebuah organisasi,” katanya.
Katanya, barisan kepimpinan di kalangan berjawatan memahami permasalahan yang timbul dan sering dibincangan dihadapi oleh organisasi itu.
“Kalau guru yang tidak berjawatan bergiat dalam kesatuan di peringkat negeri dan kebangsaan akan banyak mengganggu masa pengajaran dan pembelajaran dan aktiviti kokurikulum dan sukar untuk mengatur jadual tugas harian kerana terikat dengan keperluan majikan.
“Kesatuan juga tidak dimaklumkan punca daripada mana arahan yang tidak membenarkan guru penolong kanan, pengetua, guru besar serta pegawai yang bertugas di pejabat pendidikan daerah (PPD), jabatan pendidikan negeri (JPN) dan di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM),” katanya.
Katanya, Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS) hanya badan pelaksana dan terpaksa akur dengan arahan dan sangat terkilan sekiranya KPM yang mengeluarkan arahan tersebut, ini seolah-olah menidakkan peranan guru-guru tertentu yang berjawatan bergiat cergas dalam kesatuan.
mantan Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia (KKGLMSM), Mustapha Kamal Husin
Sementara itu, mantan Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia (KKGLMSM), Mustapha Kamal Husin, berkata larangan tersebut terpakai terhadap semua pengetua, guru besar, penolong kanan termasuk pegawai yang bertugas di PPD, JPN serta pegawai di kementerian pendidikan.
Katanya, apa yang berlaku sekarang semua jawatan yang disandang oleh guru yang berjawatan perlu dilepaskan dan disandang oleh guru muda yang masih baharu berkhidmat serta masih cetek dalam pengalaman pengurusan dan peranan kesatuan.
“Ini dilihat kekurangan guru biasa yang sanggup mengisi kekosongan jawatan tersebut kerana bimbang menghadapi banyak kekangan pergerakan daripada pihak pentadbir bermula di peringkat sekolah.
“Perjalanan pentadbiran kesatuan guru akan terjejas kerana guru biasa yang memegang jawatan tidak bebas bergerak untuk melibatkan diri dalam apa jua aktiviti kesatuan seperti menghadiri mesyuarat kesatuan samada di peringkat cawangan, kawasan atau kebangsaan,” katanya.
Katanya, guru biasa agak sukar untuk menghadiri aktiviti kesatuan guru kerana perlu berhadapan dengan karenah pentadbir di peringkat sekolah dan bakal melarang untuk bergiat aktif dalam berkesatuan.
“Selain itu, guru biasa yang masih muda yang memegang jawatan ini pula kebanyakkannya kurang berpengalaman dalam pentadbiran kesatuan dan memberikan gambaran bahawa KPM dipercayai tidak akan berhadapan dengan pemimpin kesatuan yang sebelum ini merupakan pentadbir yang lantang bersuara,” katanya.
“Kesatuan guru pernah menghantar memorandum kepada Perdana Menteri sebelum ini untuk memberi pengecualian atau memansuhkan perkara 26(2) (f) yang berkaitan tetapi tiada sebarang jawapan balas yang diterima,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Anggota melakukan operasi mencari mangsa di Sungai Leleh, Bukit Ibam, hari ini.
Anggota tentera ditemui lemas di Sungai Leleh, Bukit Ibam
MUADZAM SHAH : Seorang anggota tentera berusia 28 tahun yang dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Leleh, Bukit Ibam ditemui pada jam 6.55 petang, hari ini.
Mangsa yang bertugas di cawangan Sumber Manusia Kementah, Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur telah mandi manda di situ pada jam 3.17 petang.
Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pegawai operasi, Roduan Sudin melaporkan, mayat anggota tentera itu, Mohd Sabrie Mohd Shah yang dipercayai terjatuh ketika mandi di situ.
“Anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muadzam Shah dan BBP Pekan telah bergegas ke kawasan kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan.
“Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Kuantan turut dipanggil untuk membantu dalam pencarian mangsa,” katanya.
Katanya, anggota bomba penyelamat di air Pekan dan Bomba telah membuat pencarian peringkat awal dengan teknik pencarian di permukaan air (surface searching}.
“Mangsa ditemui di dasar sungai oleh anggota bomba yang melakukan penyelaman pertama pada jam 6.38 petang dan mangsa ditemui pada jam 6.55 petang,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Cikgu Aisah (kiri) dan Razak Daud (kanan) bertemu setelah 43 tahun di sini, hari ini.
Gembira dan terharu bertemu semula guru Pendidikan Islam setelah 43 tahun
JERANTUT : Ketua Peneroka Felda Jengka 24 gembira dan terharu apabila bertemu bekas gurunya yang pernah mengajarnya ketika berusia 13 hingga 15 tahun di Sekolah Menengah Kebangsaan Pulau tawar, dekat sini.
Beliau, Razak Daud (63) tahun tergamam pada mulanya apabila bertemu gurunya, Aisah Sheikh Ali berusia 72 tahun di Majlis Kad Pahang Pride sumbangan Menteri Besar Pahang di Dewan Utama, Majlis Daerah Jerantut, pagi ini.
“Saya sangat terkejut apabila bertemu cikgu yang mengajar subjek Pendidikan Agama Islam di majlis ini, cikgu Aisah juga seorang warden asrama puteri ketika itu yang berasal dari Johor.
“Selama ini saya tidak menjangka cikgu Aisah menetap di Pulau Tawar, rupanya beliau berumah tangga dengan orang Pulau Tawar dan berkeluarga di sini,” katanya.
Razak berkata, hampir 43 tahun beliau ingatkan cikgu Aisah sudah balik kampung di Johor dan saya gembira dan bersyukur bertemu cikgu yang masih sihat walafiat.
“Ketika bertemu tadi, anak cikgu Aisah yang perkenalkan saya dengan ibunya, saya sendiri sudah lupa wajahnya, maklumlah hampir 43 tahun tidak bertemu, kalau tidak diperkenalkan mungkin saya tidak tahu.
“Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada cikgu Aisah yang pernah mendidik saya pada tahun semasa di Tingkatan 1 hingga 3 dan saya ucapkan Selamat Hari Guru walaupun sudah terlewat, namun ucapan Hari Guru adalah sepanjang zaman,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan ROsdy Wan Ismail di Majlis Perasmian Galeri Jualan Genting Xintiandi, dekat sini, kelmarin.
Bandar moden Genting Xintiandi bakal bina bernilai RM20 bilion.
GENTING HIGHLANDS : Pembangunan perbandaran moden Genting Xintiandi menelan belanja sebanyak RM20 bilion dengan lapan fasa di atas tanah seluas 60 ekar menjadi salah satu pilihan hartanah popular dengan kemudahan sedia ada dan lengkap sebagai nilai tambah kepada pendapatan negeri Pahang.
Projek itu melibatkan pembangunan sebuah pusat komersil bercampur yang meliputi pembinaan pangsapuri perkhidmatan, ruang perniagaan, hotel dan terminal bas dan bakal siap sepenuhnya dalam tempoh 15 tahun.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pembangunan itu terletak di lokasi yang strategik dan pelancaran Fasa 1 yang meliputi pembinaan empat blok pangsapuri perkhidmatan dengan jumlah keseluruhan 2,600 unit.
“Pembangunan Genting Xintiandi merupakan projek usahasama antara Aset Kayamas dan Genting Malaysia yang melibatkan pembangunan pada berketinggian 37 hingga 60 tingkat.
“Pembangunan ini turut mewujudkan bentuk bandar yang berbeza dan menarik dari segi kualiti visual di kawasan Genting Permai kelak,” katanya di Majlis Perasmian Galeri Jualan Genting Xintiandi, dekat sini, semalam.
Turut hadir, Yang DiPertua Dewan Negeri Pahang, Datuk Seri Mohamad Sharkar Shamsuddin, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Indera Zulkifli Yaacob, Timbalan Pengerusi dan Ketua Eksekutif Genting Malaysia Berhad, Tan Seri Lim Kok Thay dan Pengerusi Aset Kayamas, Tan Seri Chai Kin Kong.
Katanya, bukit peranginan itu didatangi kira-kira 25 juta pengunjung dan yang menginap kira-kira 10 juta orang setahun dan memberi pulangan pendapatan kepada negeri Pahang.
“Selain itu, di sekitar tapak cadangan ini, terdapat kawasan hutan, kawasan kediaman dan kawasan perniagaan yang menarik.
“Pembangunan ini turut membuka peluang pekerjaan dan perniagaan kepada rakyat tempatan, malah impak positif kepada pertumbuhan dan pembangunan ekonomi kawasan sekeliling dan negeri Pahang.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Mohd Sany (duduk dua dari kanan) beramah mesra dengan tetamu pada Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), di Semenyih, Selangor, baru-baru ini.
Masyarakat terus ambil berat cegah wabak
AHLI Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan mengingatkan masyarakat supaya terus mengambil berat dan mengekalkan langkah pencegahan wabah penyakit berjangkit walaupun menganjurkan rumah terbuka Aidilfitri sepanjang Syawal 1444H/2023M ini.
Beliau berkata, dalam situasi cuaca panas sekarang dan penularan kembali wabak Covid-19 masyarakat sepatutnya memandang serius perkara itu dan jangan sekali-kali bersikap enteng terhadap bahaya penyakit yang sudah ditempuhi beberapa tahun lalu.
“Masyarakat hendahlah mendengar serta mematuhi nasihat pihak berkenaan terutama supaya memakai pelitup muka apabila berada di kawasan tumpuan ramai orang serta tidak bersesak-sesak pada satu-satu masa.
“Apabila mengunjungi majlis jamuan rumah terbuka adilfitri atau kenduri perkahwinan dan sebagainya perlulah berhati-hati dan mengambil langkah selamat pencegahan demi kebaikan bersama,” katanya ketika berucap pada Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM) Semenyih, baru-baru ini.
Jelasnya, kita semua sudah melalui situasi susah dan sukar untuk bergerak berikutan perintah kawalan pergerakan (PKP) Covid-19 yang lalu dan keadaan itu hendaklah dicegah daripada berulang kembali.
“Perkara ini hendaklah menjadi iktibar yang berguna dan selalulah mengambil berat mengenai penjagaan kesihatan diri terutama menjaga kebersihan tangan sebelum menjamah makanan dan sebagainya,” katanya.
Mohd Sany berkata, walaupun Ramadan sudah meninggalkan kita tetapi kita hendaklah terus mengekalkan semangatnya dengan terus mengamalkan amalan mulia bersedekah, mengeratkan hubungan silaturahim serta sering membantu mereka yang memerlukan bantuan.
Menurutnya, amalan mulia itulah yang disemaikan sepanjang Ramadan lalu dan hendaklah menjadi amalan sepanjang kehidupan kerana di luar sana ramai mereka yang memerlukan sedikit perhatian daripada kita semua terutama untuk berkongsi rezeki.
“Dalam kemewahan kita nikmati ini di dalamnya ada rezeki yang perlu dikongsi dengan mereka yang tidak keberadaan atau susah bagi meneruskan kelangsungan hidup apabila serba kekurangan termasuk mereka berteduh di pusat jagaan,” ujarnya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Kedua-dua lori terbabit bertembung dalam kemalangan di Jalan Kuantan – Segamat, Muadzam dekat sini pada jam 5.16 pagi hari ini. -Foto BBP Muadzam Shah.
Dua lori bertembung, pemandu lori papan maut
BANDAR MUADZAM SHAH: Dua buah lori dengan muatan papan dan sebuah lagi dengan muatan paip terbabit dalam kemalangan di Jalan Kuantan – Segamat, Muadzam dekat sini pada jam 5.16 pagi hari ini.
Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pegawai operasi, Roduan Sudin melaporkan, pemandu lori papan maut manakala seorang lagi pemandu cedera dalam kemalangan itu.
“Anggota bomba seramai 9 orang dan dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muadzam Shah bergegas ke tempat kejadian dan mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan khas penyelamatan.
Muatan kedua-dua lori terbabit berselerakkan dan menghalang lalu lintas di situ.
“Pegawai perubatan mengesahkan seorang lelaki yang memandu lori papan meninggal dunia di tempat kejadian dan mangsa tersebut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya melalui kenyataan media, hari ini.
Katanya, manakala lori dengan muatan paip cedera ringan dan laluan tersebut terhalang kerana muatan daripada kedua-dua lori terbabit bergelimpangan di atas jalan raya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Kereta Sallehudin Mat Resad remuk di bahagian hadapan akibat terlanggar lembu
Wartawan Utusan Malaysia kemalangan, keretanya remuk
KUALA KRAU : Seorang wartawan Utusan Malaysia mengalami kemalangan di Jalan Kuala Krau-Jerantut , berdekatan Kampung Masjid, kira-kira jam 10.30 malam tadi.
Wartawan tersebut, Sallehudin Mat Resad tidak mengalami kecederaan sebaliknya kereta dipandunya remuk teruk di bahagian hadapan kenderaannya akibat terlanggar seekor lembu.
Beliau dalam perjalanan pulang daripada penugasan di Majlis Perasmian Galeri Jualan Genting Xintiandi yang disempurnakan oleh Menteri Besar Pahang di Genting Highlands.
Katanya, dalam perjalanan pulang ke Jerantut, beberapa ekor lembu melintas jalan dan salah satu ekor lembu berpatah balik ke tengah jalan dan menyebabkan beliau tidak sempat menggelak.
“Diharapkan pemilik lembu atau kerbau menjaga haiwan ternakan masing-masing agar tidak membiarkan haiwan itu berkeliaran terutama di waktu malam.
“Demi keselamatan pengguna jalan raya di kawasan itu, pemilik haiwan itu memastikan haiwan mereka tidak dilepaskan begitu sahaja,” katanya.
Beliau berterima kasih kepada kepada seorang pemuda tempatan yang membantu menghantarnya membuat laporan polis di Pondok Polis Kuala Krau serta menghantarnya balik ke rumah di Jerantut. -SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KKR mohon LLM kerap selaras lebih cekap di lorong kutipan tol
LIPIS : Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memohon agar syarikat pengendali lebuh raya untuk membuat pelarasan lebih kerap di lorong-lorong RFID agar kecekapan di laluan dan lorong tol dapat dipertingkatkan.
KKR juga memerlukan kerjasama daripada semua pihak kerana mengikut rekod salah satu punca kesesakan di plaza tol adalah kerana ada pengguna yang tidak mempunyai baki mencukupi semasa melalui plaza tol.
Timbalan Menteri KKR, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, pihak KKR sentiasa menambahbaik semua sistem kutipan tol dari masa ke semasa kerana sekarang peningkatan bilangan kenderaan yang banyak dan memerlukan sistem kutipan tol yang lebih efisyen.
“Selaras dengan hasrat Kerajaan bagi melaksanakan sistem kutipan tol secara Multi Lane Fast Flow (MLFF) pada tahun 2025, pihak Kerajaan sedang memperhalusi kaedah pelaksanaan sistem MLFF ini bagi memberikan keselesaan yang terbaik kepada pengguna lebuh raya.
“Penggunaan akan diperluas kepada debit kad dan kredit kad dan seterusnya melancarkan pergerakan pengguna lebuh raya,” katanya.
Katanya, mod pilihan pembayaran kepada pengguna akan dipelbagaikan dan tidak terhad kepada satu skim penyedia pembayaran yang dimonopoli oleh Touch N Go sahaja seperti sekarang.
“Ini secara tidak langsung akan membantu pengguna mengatasi isu kekurangan baki sewaktu melalui plaza tol kerana sekiranya berlaku kekurangan baki akan merencatkan kelancaran kutipan tol terutama di waktu puncak di musim cuti perayaan.
“Pengguna lebuh raya disarankan supaya pengguna lebuh raya lebih peka dan bersedia untuk menyemak baki e-Wallet sebelum memulakan perjalanan bagi memastikan tiada gangguan semasa melakukan transaksi bayaran tol, ” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Anggota BBP Genting Highlands menaikkan mayat mangsa yang terjatuh ke dalam gaung, di sini, hari ini.
Seorang lelaki maut terjatuh ke dalam gaung di Jalan Genting
BENTONG : Seorang lelaki berusia 60an ditemui maut tergelincir jatuh ke dalam gaung sedalam kira-kira 20 meter di KM 1, Jalan ke Genting pada jam 2.53 petang, hari ini
Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata pegawai operasi, Abdul Manas Abdul Wahab melaporkan lelaki tersebut dipercayai tergelincir ke dalam gaung ketika melakukan kerja di lereng bukit di situ.
Katanya, lapan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Genting Highlands dan 2 jentera telah bergegas ke kawasan kejadian untuk melakukan operasi penyelamatan.
“Pasukan bomba menjalankan kerja menyelamat mangsa dengan menggunakan tali dan pengusung untuk manaikkan mangsa.
“Operasi penyelamatan turut dibantu oleh unit kebakaran Genting Highlands,” katanya.
Beliau berkata, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Bentong untuk dibedah siasat.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!