Program teknik menjawab SPM bantu tingkat yakin diri pelajar
JERANTUT – Seramai 105 pelajar sekolah menengah di daerah Jerantut mengikuti program teknik menjawab soalan Sijil Pelajaran Malaysia 2022 (SPM) yang diadakan di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Inderapura (SMKI) dekat sini, baru-baru ini.
Program Teknik Menjawab Soalan SPM 2022 dianjurkan bersama Sektor Pembelajaran, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Jerantut dan Yayasan Pelajaran Mara.
Pengetua SMKI, Romeli Omar berkata, program dengan kerjasama Yayasan Mara memberi kesan terbaik bagi pelajar di daerah ini.
Wakil pelajar SMKI menerima sijil penyertaan program itu,
Katanya, sebagai daerah yang jauh dari bandar besar tetapi mempunyai rekod terbaik sebagai daerah nombor satu di Pahang dalam pencapaian dalam SPM terbaik boleh membantu daerah mengekalkan tempat terbaik pencapaian SPM Pahang.
“Ini memberi kesan terbaik untuk daerah Jerantut mengekalkan tempat nombor satu atau dalam kalangan tempat teratas dalam peperiksaan SPM,” katanya.
Guru pengiring, SMKI, Ruslina Said berkata, program itu amat bermakna kepada pelajar yang bakal menduduki peperiksaan SPM tidak lama lagi.
“Program ini meningkatkan lagi yakin diri mereka dalam menjawab soalan peperiksaan nanti, selain itu memperkayakan pengetahuan dalam menjawab soalan yang turut mempunyai kemahiran berfikir aras tinggi yang amat diperlukan.
“Selain itu, pelajar dan guru yang mengikuti program ini turut boleh berkongsi pengetahuan dengan guru dan murid lain di sekolah masing-masing,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Bekas DUN Tahan, Datuk Ahmad Bazain meninggal dunia
JERANTUT – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pahang, Datuk Ahmad Bazain Mahmud meninggal duni pada kira-kira jam 1.00 petang, hari ini
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di rumahnya di Kampung Melayu, dekat sini.
Jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Mat Kilau, selepas solat asar, hari ini.
Allahyarham pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Tahan bagi dua penggal pada 1986 hingga 1995.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
TEMERLOH – Parti Islam Se Malaysia (PAS) mempelawa semua ahli gabungan Pakatan Nasional (PN), iaitu Bersatu dan Gerakan boleh menyertai parti itu berasaskan gagasan penyatuan ummah yang dibawa PAS.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dengan nada seloroh berkata, sekiranya semua gabungan PN dan juga ahli parti lain menyertainya semua masalah akan selesai serta kekuatan kesepakatan dapat membentuk kerajaan di negara ini.
“Diharap semua parti boleh bersama dengan PAS, kita akan terima sekiranya ada parti yang ingin bersama menyertai gagasan penyatuan ummah.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man
“Sebaliknya, PAS ingin membentuk kerajaan secara bersama apabila Bersatu keluar daripada Pakatan Harapan (PH) dengan mengajak UMNO menyertai gagasan tersebut,” katanya sempena Pelancaran Perikatan Nasional Pahang di Dewan Al Makmur Kerdau dekat sini malam tadi.
Beliau sekali lagi mengulangi sememangnya pada awalnya UMNO ingin bekerjasama dengan PAS, tetapi meletakkan syarat supaya parti tersebut memutuskan hubungan dengan Bersatu.
“Walaupun menolak Bersatu, parti PAS tetap menghargai kerjasama rakan dari Bersatu yang pernah mengalami ‘susah dan senang’ dalam perjuangan sebelum ini.
“Pelik, berkaitan pembubaran parlimen, ada pemimpin UMNO peringkat tertinggi bersungguh-sungguh hendak mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sedangkan negara bakal berdepan dengan cuaca Monsun Timur Laut bermula awal bulan November ini,” katanya.
Katanya, Parlimen sudah dibubarkan, tunggu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon dan mengundi serta perkara yang lebih penting dapat menguruskan pemuafakatan serta kerjasama dalam PN.
“Saya amat terharu dan gembira kerana perbincangan kerusi PN di Pahang sudah hampir selesai dalam suasana harmoni dan jelaslah pemuafakan ini akan memberikan kemenangan sekali gus Pahang di bawah pentadbiran PN pada PRU15 ini,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
RAWANG – Berkhemah selama dua hari satu malam menjadi aktiviti sekumpulan remaja bersempena menyambut Bulan Kemerdekaan Negara ke-65 yang diadakan di pekarangan Pusat Komuniti Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kasturisari Presint 14, Bandar Sungai Buaya, Rawang, Selangor, baru-baru ini.
Perkhemahan berkenaan disertai pelajar beberapa sekolah menengah sekitar Bandar Sungai Buaya berumur antara 13 tahun hingga 18 tahun.
Solat berjemaah antara aktiviti kerohanian semasa perkhemahan itu.
Program itu dianjurkan KRT terbabit dengan kerjasama Ahli Majlis Hulu Selangor Zon 22, Marina Jayaseelan, dan Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali, Selangor.
Pengerusi KRT Kasturisari, Mahmod Mat Ali, berkata perkhemahan yang julung kali diadakan itu adalah bertujuan menyantuni remaja terbabit dengan menyemai serta menyuntik semangat patriotisme di samping menghayati erti kemerdekaan negara ke arah memupuk perpaduan pelbagai kaum dalam masyarakat.
Menurutnya, perkara itu menjadi tanggungjawab secara tidak langsung kepada KRT bagi membantu kerajaan melahirkan generasi muda yang peka kepada kehidupan harmoni Keluarga Malaysia apabila hidup serumpun dengan pelbagai kaum dan agama serta mengamalkan sikap sentiasa bertolenransi.
Jelas beliau, antara pengisian dilaksanakan sepanjang perkhemahan itu ialah pendedahan cara memasang khemah, yang menariknya perhatian ibu bapa apabila turut serta dengan penuh bersemangat dengan membawa peralatan perkhemahan sendiri walaupun pihak urus setia sudah menyediakan peralatan untuk tujuan berkenaan.
“Ada ibu bapa bertindak sedemikian adalah bagi memberi keselesaan kepada anak mereka bersama-sama rakan berlainan bangsa melakukan aktiviti sepanjang perkhemahan berkenaan.
Peserta mempelajari teknik memasak dalam keadaan serba kekurangan semasa perkhemahan itu.
“Bagi remaja beragama Islam mereka dididik untuk rajin menunaikan solat secara berjemah di samping program motivasi, kuiz cergas minda, nyanyian lagu patriotik sementara menunggu menjelang detik 12 malam nyanyian lagu Negaraku pula berkumandang diikuti persembahan bunga api,” katanya.
Katanya, peserta yang dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil dibekalkan bahan mentah seperti ayam, santan, rempah kari, minyak masak, tepung gandum dan peralatan untuk tugasan memasak berkumpulan sebagai pendedahan berkerja secara berkumpulan disamping mencungkil bakat dalam bidang cef.
“Saya amat bersyukur program ini berjalan lancar dan mendapat sambutan amat menggalakkan daripada kejiranan Kasturisari yang berbilang kaum serta komitmen padu ahli jawatankuasa program yang bersungguh-sungguh menjayakannya.
“Selain mendapat kerjasama daripada Marina ia juga menarik perhatian pegawai Pejabat Penyelaras DUN Batang Kali, Sarifuddin Shafi Muhammad dan Jabatan Perpaduan Hulu Selangor,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Ugut melalui Whatsapp, lelaki larikan seorang remaja perempuan ditahan
JERANTUT – Ekoran hantaran pesanan cubaan ugutan melalui aplikasi Whatsapp, seorang lelaki berusia 18 tahun yang melarikan seorang remaja perempuan berusia 20 tahun ditahan polis di Maluri, Kuala Lumpur kira-kira 6.15 petang, semalam.
Anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah, Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut telah pergi ke lokasi penahanan setelah menerima maklumat
Superitenden Mazlan Hassan
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superitenden Mazlan Hassan berkata, bapa mangsa telah membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Tahan setelah menerima pesanan berupa ugutan itu dan bimbang dengan keselamatan anaknya, kira-kira jam 7.45 pagi semalam.
“Melalui pesanan Whatsapp yang diterima oleh bapa mangsa yang hilang itu daripada nombor yang tidak dikenali, berupa ugutan meminta wang dan ‘settle’ dengan baik ekoran melarikan seorang remaja perempuan itu.
“Sebelum penahanan lelaki itu, remaja Nor Syamira Ahmad Anafiah berusia 20 tahun dilaporkan tidak pulang ke rumah selepas habis bekerja di sebuah hotel di Kuala Tahan di sini pada jam 5.00 petang pada Jumaat,” katanya melalui kenyataan media.
Katanya, sebelum itu, bapa mangsa, berusia 47 tahun telah membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Tembeling pada Jumaat selepas disedari oleh kakak mangsa atas ketiadaan adiknya.
“Kakaknya memaklumkan Syamira mahu keluar membeli air kira-kira 4 petang hari tersebut dan cuba menghalang dan memintanya tunggu sehingga habis waktu kerja, tapi dia beritahu terlalu dahaga.
“Selepas menyedari Syamira masih tidak balik ke pusat peranginan itu, kakaknya menyangka motosikal yang digunakan adiknya kehabisan minyak dan keluar mencari dan mendapati motosikal ditemui di tepi jalan kira-kira 400 meter dari pusat peranginan itu,” katanya.
Katanya, pasukan polis menahan suspek seorang pelayan restoran di Maluri dan membawa mangsa ke Jerantut untuk tindakan lanjut dan polis turut merampas telefon bimbit suspek. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan dan siasatan masih diteruskan.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PETALING JAYA – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa hari ini selepas diperkenan Yang di-Pertuan Agong untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Perdana Menteri membuat pengumuman khas itu yang disiarkan secara langsung ke seluruh negara pada pukul 3 petang ini menerusi saluran televisyen dan medial sosial.
“Dengan ini dimaklumkan, bahawa tengah hari semalam saya telah menghadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan menyembah warkah permintaan kepada Baginda, mengenai pembubaran Parlimen Ke-14.
“Selaras dengan Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, telah bertindak menurut budi bicara Baginda dengan memperkenankan permintaan saya, supaya Parlimen Ke-14 dibubarkan pada hari ini, Isnin 10 Oktober 2022,” katanya.
Ismail Sabri berkata, beliau mengesyorkan ketua-ketua kerajaan negeri kecuali Kerajaan Negeri Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor supaya mengambil tindakan sewajarnya bagi membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing pada tarikh yang sama dengan pilihan raya umum peringkat Parlimen, meskipun beberapa buah negeri telah memutuskan untuk tidak membubarkan DUN masing-masing.
Kata beliau, ia wajar dilaksanakan serentak bagi memastikan rakyat tidak terbeban selain kelancaran proses demokrasi serta menjimatkan kos.
“Sementara itu, penetapan tarikh-tarikh hari penamaan calon dan hari mengundi serta urusan-urusan lain yang berkaitan, adalah tertakluk kepada keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Diindang ditampi beras, dipilih antah satu-satu. Dengan pengumuman ini, mandat akan dipulangkan kepada rakyat. Mandat rakyat adalah penawar ampuh bagi negara menzahirkan kestabilan politik dan mewujudkan kerajaan teguh, stabil serta dihormati selepas PRU15,” katanya.
Sumber – Utusan Malaysia.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Pembinaan wakaf kayu berlantaikan kayu dengan dilengkapi ukiran kayu pada tepi bumbung menjadi tempat berteduh murid.
Bahan kayu lama Sk Pulau Indah dimanfaatkan
Sekolah Kebangsaan Pulau Indah (SKPI), Jalan Dato’ Haron, Pelabuhan Kelang, Selangor mengambil inisiatif yang jarang dilakukan sekolah lain apabila memperkenalkan pelbagai ukiran kayu pada setiap sudut bangunannya.
Guru Besar SK Pulau Indah, Jalan Dato’ Haron, Pelabuhan Kelang, Selangor, Hazi Kadir bersama guru menunjukkan bilik mesyuarat sekolah itu yang dihiasi dengan ukiran kayu.
Guru besar SKPI, Hazi Kadir, berkata idea mencantikkan bangunan sekolah itu dengan ukiran kayu tercetus tiga tahun lalu apabila beliau mendapati bahan kayu lama dari bangunan dalam proses pertukaran bumbung boleh digunakan semula untuk membuat ukiran kayu.
Jelasnya, kayu yang terbuang itu adalah kayu keras daripada jenis merbau, resak meranti emas dan balau yang amat menarik dibuat ukiran kayu kerana masih elok serta tahan lama daripada bangunan sekolah berkenaan yang dibina pada tahun 1973 menggunakan kayu dari hutan dara.
“Pihak sekolah memanfaatkan pengalaman tukang kayu mahir iaitu seorang bapa murid bernama Kamaruddin yang pernah terbabit membuat istana kayu di Pahang dan Perak, usaha membuat ukiran kayu diteruskan di lima blok bangunan sekolah itu.
Laluan menuju ke pejabat pentadbiran SKPI dilengkapi pintu gerbang dengan ukiran kayu yang cantik.
“Bagi menambah keyakinan, saya melihat sendiri kerja tukang kayu yang dibuat oleh Kamaruddin ini di rumahnya dan mendapati beliau memang seorang berkemahiran apabila menggunakan kayu lama yang dirawat semula bagi menghasilkan ukiran menarik,” katanya.
Katanya, atas kesepakatan serta kerjasama saya dengan dibantu Kamaruddin, mengambil kayu yang terbuang ini untuk dirawat semula dengan mengosok menggunakan mesin dan vernis kayu sebelum memulakan kerja ukiran serta binaan.
“Dari situ antara kerja kayu dan ukiran yang dibuat ialah membabitkan pembinaan wakaf kayu berlantaikan kayu, sebuah dewan dengan siapan kayu, ruang pejabat menggunakan kayu terpakai dengan hiasan kerawang kayu dan papan lapis.
“Bilik rehat guru menggunakan kayu juga sebagai hiasan kemasan dinding dan syiling, bilik Penolong Kanan Kokurikulum dihiasi kerawang kayu dan pintu dibuatkan bingkai kayu yang unik serta menarik,” katanya.
Begitu juga dengan bekas letak bunga juga menggunakan hiasan kayu, tempat meletak kereta dibuat papan manis yang diukir dan pada dua dataran berbumbung penuh ukiran sepanjang 100 meter, gerbang kayu dibina di kaki lima pintu masuk ke pejabat, pagar kayu juga dibuat sebagai penghalang kolam ikan.
Beliau berkata, bingkai tingkap sekolah itu juga dibalut dengan kayu keras di samping kayu bakau dan kayu pokok mangis hutan juga dijadikan hiasan di sudut bilik yang menjadikan SKPI sering disebut sekolah terhebat di daerah berkenaan.
“Setakat ini lebih 300 sekolah seluruh negara melawat SKPI untuk mengambil gambar dan sebagainya serta membuat ramai terpegun apabila berasa kagum akan keunikan ukiran kayu itu kerana tidak terdapat di sekolah-sekolah lain.
“Antara jenis ukiran kayu yang dibuat seperti tembuk tembus, bunga tetek, pasak, tanggam kekuda, tetupai yang kini tiada lagi dibuat selain kerawang ciri binaan negeri Perak,” katanya.
Hazi berkata, objektif pihak sekolah membuat ukiran kayu itu adalah untuk membudayakan semula seni kayu di samping dapat diperkenalkan kepada murid supaya mereka tahu asal usul bangsa dan budaya.
“Usaha saya ini juga satu kelainan dalam pendidikan apabila murid didedahkan dengan seni ukiran kayu pada peringkat awal lagi, melastarikan sistem kesenian dan budaya serta menghargai tukang kayu yang kini semakin pupus,” katanya. -SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Mayat seorang wanita yang ditemui disumbat di dalam sebuah beg pakaian di Sungai Mekong, wilayah Nakhon Phanom pada minggu lalu dikenal pasti sebagai pemilik sebuah syarikat dan jutawan dari Laos, lapor laman berita Thaiger semalam.
Polis Thailand cuba mengenal pasti identiti wanita itu daripada pakaian berjenama yang dipakainya. Mayat itu dihantar ke Hospital Srinagarind, wilayah Khin Kaen untuk bedah siasat.
Seorang saudara kepada mangsa kemudian tampil dan mengesahkan bahawa wanita itu bernama Wipaporn dan berusia 40 tahun.
Saudara wanita itu kemudian menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA) untuk membuktikan kesahihan hubungan mereka.
Wipaporn didakwa merupakan ketua eksekutif salah satu syarikat pembinaan terbesar di wilayah Vientiane, Laos.
Dia dilaporkan sudah melangsungkan perkahwinan sebanyak dua kali dan mempunyai empat orang anak. Anak perempuannya yang berusia lima tahun dan suami terbaharunya juga dilaporkan hilang.
Media Laos melaporkan bahawa kereta Mercedez-Benze milik Wipaporn telah ditinggalkan berhampiran tebing Sungai Mekong di Laos.
Polis Thailand memaklumkan bahawa mereka tidak mempunyai kuasa untuk menyiasat kes itu dan menyerahkan semua bukti yang dikumpulkan kepada polis Laos untuk siasatan dan pendakwaan lanjut.
Superintendan Balai Polis That Phanom di wilayah Nakhon Phanom, Tawin Kankate melaporkan bahawa saudara kepada mangsa ingin mengadakan upacara pengebumian di Thailand.
Mayat Wipaporn kini berada di tanah perkuburan sebuah yayasan amal di bandar Mukdahan. Upacara pengebumian akan berlangsung selepas siasatan selesai.
Sumber : Sengat Daily
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Nor Syamira Ahmad Anafiah yang dilaporkan hilang. – Foto Sarina Jaafar
Remaja perempuan 20 tahun tidak pulang ke rumah selepas kerja
JERANTUT – Seorang remaja berusia 20 tahun dilaporkan tidak pulang ke rumah selepas habis bekerja di sebuah hotel di Kuala Tahan di sini pada jam 5.00 petang pada Jumaat.
Remaja tersebut, Nor Syamira Ahmad Anafiah yang beralamat Kampung Kuala Tahan didakwa tidak pulang ke rumah selepas habis bekerja.
Bapanya, Ahmad Anafiah Ibrahim, 47 tahun telah membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Tembeling selepas disedari oleh kakak mangsa.
Katanya, Syamira anak kelima daripada lapan beradik itu keluar rumah ke tempat kerja bersama kakaknya dengan menunggang motosikal.
“Kakaknya memaklumkan Syamira memberitahu kakaknya yang dia mahu keluar membeli air kira-kira 4 petang hari tersebut dan cuba menghalang dan memintanya tunggu sehingga habis waktu kerja, tapi dia beritahu dahaga.
“Namun, selepas itu tidak muncul dan selepas menyedari Syamira masih tidak balik ke pusat peranginan itu dan menyangka motosikalnya kehabisan minyak,” katanya.
Katanya, kami cuba mencari dan mendapati motosikal yang digunakan ditemui di tepi jalan kira-kira 400 meter dari pusat peranginan itu.
“Saya membuat laporan polis pada yang hari sama selain turut membuat hebahan di media sosial bagi meminta bantuan orang ramai mengesan anaknya itu.
“Sehingga kini tiada khabar berita mengenai kehilangan Syamira namun keluarga berharap anaknya itu dapat ditemui dengan segera. Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Syamira boleh menghubungi saya dan isteri, Sarina Jaafar di talian 017-9643403,” katanya.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superitenden Mazlan Hassan mengesahkan kejadian itu.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Pasukan Koir Perpaduan pekan muncul juara dalam pertandingan tersebut.
Seni muzik alat kukuhkan budaya antara kaum
KUANTAN – Seni muzik turut berperanan mengukuhkan budaya dalam sesebuah bangsa, kaum dan etnik serta sebagai satu alat interaksi sosial dan kelestarian antara kaum di negara ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Manusia dan Keluarga Negeri Pahang, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin (kanan)
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Manusia dan Keluarga Negeri Pahang, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin berkata, negara ini kaya dengan pelbagai seni muzik dan pelbagai ragam gerak tari yang membantu penyatuan antara kaum.
“Oleh itu, khazanah seni dan budaya negara ini perlu diperkasakan, sebagai contoh pertandingan koir dapat menyatukan perpaduan pelbagai kaum di negara ini melalui muzik.
“Penganjuran pertandingan koir Jabatan Perpaduan Nasional dan Integrasi Nasional (JPNIN) dengan meletakkan beberapa syarat khusus yang memerlukan setiap pasukan mempunyai pelbagai kaum yang menyertai setiap kumpulan itu amat dipuji.
Beliau berkata demikian di Majlis Penutupan Rasmi Pertandingan Koir Perpaduan Keluarga Malaysia Peringkat Negeri Pahang 2022 di Auditorium Darul Makmur (ADAM), Kompleks Penyiaran Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan, semalam.
Turut hadir Pengarah JPNIN Pahang, Amira Abdullah serta berkerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) Pahang.
Katanya, tujuan setiap kumpulan itu dengan pelbagai kaum agar tidak dimonopoli satu kaum sahaja, sebab itu JPNIN memberi markah tambahan kepada kumpulan yang mempunyai lebih satu kaum dalam kumpulan itu.
Sementara itu, seorang peserta koir yang mewakili pasukan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP), Noorul Azreen Kamaruddin berkata, penyertaan kumpulannya tidak meletakkan sasaran yang tinggi sebaliknya mahu menyertainya dengan anggota koir pelbagai kaum.
“Apabila JPNP menawarkan untuk menyertai pertandingan itu, ramai di kalangan guru dan pelajar pelbagai kaum teruja menyertainya.
“Pihak pengurusan pasukan koir JPNP terpaksa melakukan ujibakat serta menitikberatkan kuota kaum dalam pasukan ini, secara tidak langsung merealisasikan konsep Keluarga Malaysia yang dihasratkan oleh Pedana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob,”katanya.
Pasukan koir Pertubuhan Kebudayaan dan Kesenian Daerah Jerantut
Ketua kumpulan koir Pertubuhan Kebudayaan dan Kesenian Jerantut, Narrul Akma Kamaruddin, berkata, pada mulanya dimaklumkan oleh pihak urusetia JPNIN Pahang berkaitan dengan pertandingan itu, ramai yang teruja menyertainya kerana hampir 2 tahun program seperti ini tidak dilakukan secara fizikal.
“Oleh itu PKKDJ mengambil inisiatif membentuk pasukan dalam waktu yang singkat selain mahu ‘enjoy’ menyertai pertandingan dan mahu mencabar kumpulan ini (PKKDJ) yang baharu 11 hari ditubuhkan.
“Menariknya, PKKDJ turut menyokong hasrat kami dan mula berlatih dalam keadaan santai kerana hampir 90 peratus anggota koir adalah suri rumahtangga dan bekerja sendiri serta tidak pernah menyertai pasukan koir sebelum ini,” katanya.
Sebanyak lapan pasukan menyertai pertandingan akhir itu dan Pasukan Koir Perpaduan Pekan muncul juara ddengan merangkul hadiah RM5,000 seterusnya mewakili negeri Pahang ke peringkat kebangsaan.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!