NOTIS TUNTUTAN UNTUK PUAD ZARKASHI
NOTIS TUNTUTAN UNTUK PUAD ZARKASHI
KUALA LUMPUR: Peguam yang mewakili Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sudah menghantar notis tuntutan (LOD) kepada Mohd Puad Zarkashi ekoran kenyataan dibuat anggota Majlis Tertinggi UMNO itu yang dianggap memfitnah.
Menurut laporan The Edge surat tuntutan itu dihantar firma guaman Rosli Dahlan Saravana Partnership dan dialamatkan ke Puad di Putrajaya.
GAMBAR HIASAN
Ia berhubung hantaran dibuat bekas ketua pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) itu mengenai Muhyiddin di media sosial baru-baru ini.
Dalam hantaran tersebut Puad membangkitkan persoalan mengenai prosedur kuarantin ke atas Muhyiddin yang baru pulang dari lawatan rasmi ke Jakarta, Indonesia.
Memetik kandungan tuntutan itu The Edge melaporkan hantaran dibuat Puad mengandungi maklumat tidak benar, tidak berasas dan berniat jahat terhadap Muhyiddin.
Tuntuan itu menyatakan hantaran dibuat Puad secara tersirat mahu menyatakan presiden BERSATU itu enggan menjalani kuarantin kendiri selama 10 hari dan mendorong Menteri Kesihatan Dr Adham Baba mengeluarkan arahan baru mengenai prosedur berkenaan.
GAMBAR HIASAN
Arahan itu – yang dikeluarkan melalui warta persekutuan – menyatakan anggota kabinet yang baru pulang dari lawatan rasmi di luar negara hanya perlu menjalani kuarantin selama tiga hari.
Selanjutnya, LOD dilaporkan mendakwa hantaran Puad itu membawa maksud Muhyiddin menyalahgunakan kuasanya sebagai perdana menteri untuk mendapatkan layanan istimewa.
Sebelum ini Puad diberi tempoh tujuh hari untuk memadamkan hantaran tersebut, memohon maaf secara terbuka di Facebok, portal berita dan media sosial dan ikrar untuk tidak mengulangi dakwaan berkenaan.
Puad juga dituntut membayar pampasan RM10 juta.
Sementara itu Puad ketika dihubungi Malaysiakini enggan memberikan sebarang kenyataan atau mengesahkan menerima LOD berkenaan.