MURID DARJAH ENAM HASILKAN PELAN BANGUNAN
PELAN ITU DIGUNAKAN UNTUK UBAH SUAI DAPUR RUMAH
KEDAH: Kanak-kanak berusia 12 tahun dari Sekolah Kebangsaan (SK) Uda di sini mendapat perhatian netizen apabila berjaya menghasilkan lakaran pelan bangunan yang kemudiannya digunakan untuk mengubah suai dapur di rumah ibu dan bapanya.
Malah video yang dikongsikan bapanya, Mohd Hardy di media sosial turut mendapat perhatian vlogger luar negara yang kagum dengan kemahirannya.
Hasil lakaran Airiel seperti seorang profesional biarpun baru berusia 12 tahun
Menurut Mohd Hardy, anak sulongnya Airiel Haziq sememangnya meminati bidang tersebut dan mereka sedaya upaya memberikan yang terbaik untuk mengembangkan bakatnya.
Katanya, biarpun bidang tersebut amat berbeza memandangkan beliau merupakan penyelaras insurans manakala isterinya merupakan seorang jururawat namun mereka sentiasa menyokong minat Airiel.
“Saya suka sangat layan pertanyaan anak-anak.
“Kadang-kadang saya terpaksa ambil tahu benda yang saya tak tahu untuk jelaskan.
“Kadang-kadang kena jadi jurutera, kadang-kadang jadi cikgu, ahli sukan… macam-macam lah,” katanya.
Airiel sedang membuat model rumah mini seperti yang direkanya.Gambar ini perkongsian theklasik.com
dan I Network Muslim
Beliau turut menasihatkan ibu bapa agar tidak boleh sesekali mematahkan impian anak-anak, sebaliknya, cuba memenuhi impian mereka.
Menceritakan perihal anak sulungnya yang gemar bertanya, kata Mohd Hardy, beliau mencari jawapan dengan merujuk rakan-rakan dalam bidang seni bina dan internet untuk membantu anaknya.
“Soalan anak-anak mesti dijawab. Walaupun tak ada jawapan, mesti kena cari.
“Sekurang-kurangnya dia ada jawapan yang logik. Memori anak-anak masih segar. Dapat, terus simpan. Bila dah besar, sayang masa tu dah berlalu. Tak ada input yang otak perlukan,” katanya.
Kongsi Mohd Hardy lagi, mereka turut membelikan buku-buku berkaitan kejuruteraan buat anaknya.
Antara buku rujukan yang dibeli Hardy untuk anak sulongnya itu bagi memenuhi minat Airiel
“Saya tak adalah pandai sangat. Saya dan isteri anak orang susah. Semuanya kami survive sendiri. InsyaAllah ada jalannya.
“Saya belikan buku-buku yang agak advance berbanding umurnya yang baru darjah enam,” kongsi beliau.
Airiel bakal menyertai pertandingan Science, Technology, Engineering & Mathematic di mana dia dan pasukannya akan mewakili sekolahnya membentangkan pelan dan model seni bina.