MESSI SIAP SEDIA SAMAN 5 SUSPEK
MESSI SIAP SEDIA SAMAN 5 SUSPEK
BARCELONA: Lionel Messi dilaporkan sudah bersedia menyaman lima suspek yang dipercayai membocorkan kontraknya bersama Barcelona yang bernilai 492 juta pound (RM2.72 bilion).
Ahad lalu, surat khabar Sepanyol, El Mundo menyiarkan laporan penuh mengenai kontrak mega bintang Argentina itu di Nou Camp.
GAMBAR IHSAN AGENSI
Jumlah itu termasuk gaji tetap, hak imej, pendapatan lain serta cukai yang perlu dibayar oleh Barcelona untuk memintas jumlah rundingan bintang NFL, Patrick Mahomes bersama Kansas City Chiefs yang berjumlah 402 juta pound (RM2.2 bilion).
Salah satu daripada bonus itu adalah pembayaran pembaharuan bernilai 102 juta pound (RM565 juta) hanya untuk menandatangani kontrak pada November 2017.
Malah, pemain berusia 33 tahun itu boleh meninggalkan pasukan secara percuma apabila kontraknya berakhir Jun depan.
Pendedahan kontrak itu jelas menyebabkan kem Messi marah dan berdasarkan laporan radio Catalan RAC1, pemain itu mahu mengambil tindakan undang-undang.
Laporan berkenaan mendedahkan Messi dan pasukannya percaya lima individu di Barcelona yang tahu dan mempunyai maklumat mengenai kontraknya itu.
Lima individu itu ialah bekas presiden, Josep Maria Bartomeu; bekas naib presiden, Jordi Mestre; Ketua Pegawai Eksekutif Òscar Grau; presiden interim, Carles Tusquets; dan ketua undang-undang kelab itu, Romàn Gómez Ponti.
Bartomeu, yang meletak jawatan Oktober lalu dan mempunyai hubungan tegang bersama Messi ketika dia tidak dibenarkan meninggalkan pasukan, secara terbuka sudah menafikan terbabit dalam kebocoran maklumat itu.
GAMBAR IHSAN AGENSI
“Saya tidak terbabit,” kata Bartomeu kepada stesen televisyen Sepanyol.
“Ini adalah kesalahan serius kerana membocorkan kontrak profesional pemain kepada media.
“Amat mudah membuat tuduhan tetapi ini bukan jenaka dan sudah pasti ia akan berakhir di mahkamah,” katanya.