Lagu Malaysia Jaguh dan Cintai Malaysia dapat sentuhan 2 tokoh tersohor tanah air
Lagu Malaysia Jaguh dan Cintai Malaysia dapat sentuhan 2 tokoh tersohor tanah air
DUA tokoh terkenal tanah air bergabung tenaga berkarya dan menghasilkan dua buah lagu bercorak patriotik dan kenegaraan terbaharu berjudul Malaysia Jaguh dan Cintai Malaysia.
Kedua-dua tokoh tersebut, masing-masing mempunyai pencapaian cemerlang yang tersendiri, Datuk Mokhzani Ismail, seorang pemain piano jazz ,komposer , penggubah muzik lulusan Berklee dan Pengarah Muzik Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Manakala, Datuk Habsah Hassan atau sinonim dengan panggilan Kak Chah adalah penulis lirik tersohor yang tidak asing lagi di negara ini.
Kedua mereka ketika dihubungi merasakan sangat berpuashati dapat berkerjasama untuk menghasilkan dua buah lagu kenegaraan tersebut yang dirasmikan oleh Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil pada 1 April sempena sambutan Hari Radio dan Televisyen Malaysia (RTM), baru-baru ini.
Kini, kedua-dua buah lagu tersebut boleh didengari dan ditonton melalui corong radio dan televisyen.
Datuk Mokhzani Ismail yang mencipta dan mengubah lagu tersebut mahu lagu Cintai Malaysia dikembalikan semula ke era kegemilangan lagu berbentuk koir dengan 4 lapisan suara seperti suara soprano , alto, tenor dan bass (SATB) yang semakin pupus terutama di peringkat sekolah.
“Penglibatan kanak-kanak dalam nyanyian lagu Cintai Malaysia turut disatukan dengan kumpulan koir dewasa Gemersik Korus dan Broadway Choir di bawah pimpinan Dr. Casey yang ternyata memberikan sesuatu yang hebat.
“Malah sekolah-sekolah atau mana-mana perhimpunan boleh menjadikan lagu ini sebagai satu lagu yang wajib dinyanyikan beramai-ramai untuk membangkitkan semangat perpaduan,” katanya .
Katanya, lagu Malaysia Jaguh pula lebih ke arah genre pop moden dengan dua anak muda penyanyi dari Sabah diberi tanggungjawab untuk menyampaikan lagu ini.
“Mereka, Arrdley Nicholas seorang vokalis terbaik Anugerah Industri Muzik (AIM) 23 bersama Elica Paujin yang menjuarai Big Stage 2022, peranan yang diberi kepada mereka sangat baik dan serasi ketika penyampaian lagu ini.
“Seorang pemuzik lagenda tanah air, Lillian Loo turut berperanan memimpin Orkestra RTM turut membawa pendengar menikmati kedua-dua naskah ini benar-benar bersifat ‘masterpiece’ dan mampu dihayati oleh semua rakyat Malaysia,” katanya.
Dua buah lagu ini turut mendapat sentuhan penulis lirik tersohor yang tidak asing lagi di negara ini, Datuk Habsah atau sinomim dengan panggilan Kak Chah.
Beliau telah menulis banyak lirik lagu untuk beberapa penyanyi ternama Malaysia dan penulis tempatan pertama memenangi Anugerah Cakera Emas dari WEA Recording Company (kini Warner Music) kerana menulis paling banyak lagu-lagu dan wanita pertama memenangi kategori Lirik Terbaik dalam pertandingan Muzik-Muzik 1987
Menurut Kak Chah , penubuhan Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, memberi idea untuk melahirkan lirik lagu yang mampu diterjemahkan dalam erti kata mengeratkan perpaduan antara kaum dan melupakan segala perbedaan yang semakin menjauhkan sikap kasih sayang sesama kita.
“Apatah lagi konsep kerajaan Malaysia Madani yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri perlu difahami dan dihayati oleh semua lapisan masyarakat negara ini yang dapat saya gambarkan melalui lirik lagu Cintai Malaysia.
“Lebih utama buat generasi muda yang perlu berusaha lebih hebat ke arah melahirkan insan yang mampu melakar kejayaan menjadikan Malaysia Jaguh,” katanya.
Katanya, beliau sangat teruja bila liriknya turut mendapat sentuhan dari Pengarah Muzik RTM Datuk Mokhzani yang merupakan sahabatnya.
“Saya mempunyai citarasa yang sama iaitu melahirkan karya yang berupa ‘masterpiece’ yang bukan saja dapat dinikmati dan menjadi sejarah hari ini tetapi dapat ditatapi untuk generasi muda untuk tempoh 30 tahun akan datang,” katanya.-SAHIH.