Koperasi Kariah Masjid Pertama Dirasmikan di Cebu, Filipina
Koperasi Kariah Masjid Pertama Dirasmikan di Cebu, Filipina
CEBU, FILIPINA – Usaha memperkasa komuniti Islam di peringkat antarabangsa terus dipergiat apabila Koperasi Kariah Masjid pertama di wilayah Cebu, Filipina secara rasmi ditubuhkan pada 8 Julai lalu.
Majlis perasmian koperasi yang dinamakan Ummatan Wasathan Halal Consumers Cooperatives itu diadakan di Masjid Al-Hidayah, Pulau Olango, Lapu-Lapu City dan disempurnakan oleh Presiden ANGKASA merangkap Presiden ASEAN Co-operatives Organization (ACO), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah.
Penubuhan koperasi tersebut adalah hasil kerjasama antara ANGKASA, One Dakwah Foundation, Briged Bakti Malaysia dan Ummah Care Malaysia bagi mengangkat taraf sosioekonomi masyarakat Islam dan mualaf yang dianggarkan seramai 5,000 orang di kawasan berkenaan.
Datuk Seri Dr. Abdul Fattah berkata, koperasi berasaskan kariah masjid bukan sahaja terbukti berkesan di Malaysia, malah berpotensi besar untuk diperluaskan ke negara lain yang mempunyai komuniti Muslim tersendiri.
“Ini merupakan permulaan penting ke arah penglibatan aktif komuniti Islam di Cebu dalam bidang keusahawanan, pendidikan serta kebajikan berteraskan nilai-nilai Islam dan semangat kekitaan,” katanya.
Turut hadir, Presiden Briged Bakti Malaysia, Dato’ Dr. Abdul Razak Kechik; Presiden Ummah Care Malaysia yang juga Naib Presiden Briged Bakti Malaysia, Ustaz Haji Mohd Nasir Zakaria; Ketua Bahagian Koperasi National Council on Muslim Filipino (NCMF), Almojin D. Pandapatan serta Setiausaha Cebu Care Society merangkap Pengurus Masjid Al-Hidayah, Tuan Haji Kamal.
Hadir sama, Ketua Pegawai Pengurusan Kumpulan ANGKASA, Tuan Haji Hasnan Haji Mustapha dan Pengurus Kanan Bahagian Pembangunan dan Perniagaan Koperasi Kariah Masjid ANGKASA, Mohd Safian Abdul Rahman.
Sementara itu, Briged Bakti Malaysia dan Ummah Care Malaysia yang aktif menyantuni umat Islam di wilayah Cebu, Negros dan Leyte sejak lebih sedekad lalu kini menyelia lebih 80 buah masjid dan Pusat Islam di kawasan terbabit.
Langkah penubuhan koperasi ini dijangka menjadi perintis kepada pewujudan koperasi-koperasi kariah masjid lain di bawah seliaan organisasi tersebut dengan sokongan One Dakwah Foundation of Philippines.-SAHIH