Komitmen Ibu Bapa, Guru Penentu Kecemerlangan Murid – Haji Razak
Komitmen Ibu Bapa, Guru Penentu Kecemerlangan Murid – Haji Razak
JERANTUT– Kehadiran ibu bapa dan penjaga yang memenuhi dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tekam Utara hari ini membuktikan betapa pentingnya kerjasama erat antara komuniti dan pihak sekolah dalam melonjakkan kecemerlangan pendidikan anak-anak.
Majlis Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Sungai Tekam Utara disempurnakan oleh Tuan Haji Razak bin Daud, Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Jerantut yang mewakili Yb Haris Salleh bin Hamzah.
Dalam ucapannya, Tuan Haji Razak merakamkan penghargaan kepada barisan guru dan Jawatankuasa PIBG kerana berjaya merancang dan melaksanakan mesyuarat agung dengan jayanya.
“Tahniah dan syabas kepada guru-guru serta ahli jawatankuasa PIBG atas penganjuran yang teratur dan bermakna hari ini. Ini bukti semangat kerjasama yang tinggi demi kepentingan pendidikan anak-anak,” katanya.
Beliau turut memuji komitmen ibu bapa dan penjaga yang hadir memberikan sokongan padu kepada pihak sekolah.
“Semoga usaha murni dan kerjasama erat seperti ini menjadi resepi kejayaan murid-murid kita dalam mencapai kecemerlangan akademik dan sahsiah,” tambahnya.
Majlis itu turut diserikan dengan pelbagai pengisian termasuk pembentangan laporan tahunan, usul-usul pembangunan sekolah dan perbincangan hala tuju kecemerlangan pelajar pada masa akan datang.
Mesyuarat Agung PIBG bukan sahaja menjadi platform penting untuk menyuarakan pandangan ibu bapa, malah mengukuhkan lagi hubungan strategik antara sekolah dan komuniti setempat.
Dengan semangat “Bersatu, Bersetia, Berkhidmat”, warga SK Sungai Tekam Utara terus beriltizam untuk memastikan kualiti pendidikan terus cemerlang seiring aspirasi negeri Pahang di bawah slogan #Pahang1st dan #TiadaJanjiLihatBukti.-SAHIH