Kelahiran pertama di Klinik Kesihatan Tekek, Pulau Tioman sejak dinaiktaraf
Foto atas : Ibu berusia 35 tahun selamat melahirkan bayi di Pusat Bersalin Klinik Kesihatan Tekek, dekat sini sejak dinaiktaraf bermula Februari tahun ini pada jam 7.32 pagi, hari ini.
Kelahiran pertama di Klinik Kesihatan Tekek, Pulau Tioman sejak dinaiktaraf
PULAU TIOMAN : Pusat Bersalin Klinik Kesihatan Tekek, dekat sini menerima kelahiran selamat yang pertama sejak dinaiktaraf bermula Februari tahun ini pada jam 7.32 pagi, hari ini.
Pengarah Kesihatan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr. Nor Azimi Yunus berkata, ibu berusia 35 tahun telah melalui proses bersalin anak ketiga pada usia kandungan 36 minggu 6 hari dan disambut dengan selamat oleh kakitangan bertugas yang terlatih.
“Keadaan ibu dan bayi selepas proses bersalin juga adalah stabil dan baik, Klinik Kesihatan Tekek merupakan fasiliti yang memberikan perkhidmatan penjagaan ibu mengandung dan bersalin di Pulau Tioman.
“Fasiliti ini telah dinaik taraf dengan kelengkapan peralatan perubatan yang terkini melalui kurniaan oleh Yang di-Pertuan Agong pada Februari 2022 lalu sebanyak RM 2.9 juta,” katanya.
Katanya, jabatan ini merafak sembah, menjunjung kasih Ke bawah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah atas perkenan kurniaan kepada klinik kesihatan Tekek ini.-SAHIH.