Kami mahu calon tempatan, bukan calon import
Kami mahu calon tempatan, bukan calon import
KUANTAN – Kehilangan wakil rakyat di kawasan Pelangai pada 17 Ogos lalu, bukanlah sesuatu yang dijangka oleh sesiapa.
Allahyarham Datuk Seri Johari Harun meletakkan tanda aras baharu bagi penduduk di kawasan itu.
Walaupun hanya sempat berkhidmat kira-kira lapan bulan sebagai ahli dewan undangan negeri (ADUN) Pelangai dan seterusnya dipilih sebagai Exco kerajaan negeri, Johari sudah cuba membawa pelbagai perubahan ke kawasan itu.
Bahkan, penduduk di Simpang Pelangai sendiri mengakui betapa hebatnya Allahyarham dalam menyantuni masyarakat di situ.
Seorang warga emas yang menetap di Pelangai sejak lebih 40 tahun lalu, tidak putus-putus memuji Allahyarham Johari.
“Susah dah kami nak dapat wakil rakyat macam beliau. Kami cuma mampu doakan yang terbaik untuk arwah dan segala jasa sepanjang arwah bersama kami, akan kami kenang sampai bila-bila,” katanya.
Begitu juga dengan golongan muda di situ, turut merasai kehilangan pemimpin hebat seperti Allahyarham Johari.
Walaupun Allahyarham Johari lebih dikenali sebagai ahli perniagaan yang berjaya sebelum menceburi politik, beliau tidak pernah kekok apabila berjumpa penduduk.
“Tiada protokol, tiada sekatan dan kami bebas untuk melontarkan pandangan apabil bertemu beliau.
“Banyak idea kami kongsi bersama dan banyak yang beliau rancang untuk generasi muda di Pelangai, cuma masa tidak mengizinkan untuk beliau melaksanakan semuanya,” kata seorang anak muda yang sempat ditemui.
Mereka sepakat dan meminta kerajaan negeri membuat keputusan terbaik untuk memilih bakal calon di situ.
“Nak dapat sama macam arwah, memang payah dah, kalau dapat yang hampir sama pun dah cukup baik.
“Tapi kalau boleh, kami nak (calon) penduduk sini juga, orang tempatan, bukan orang luar,” katanya.
Kebanyakan penduduk juga memaklumkan, mereka sanggup memboikot pilihan raya kecil (PRK) Pelangai jika BN tersilap pilih calon.
Katanya, mereka lebih rela tidak keluar mengundi jika calon dikemukakan BN bukan penduduk setempat.
“Orang luar takkan faham masalah atau apa yang kami mahu. Jadi, baik kami tak perlu keluar mengundi,” katanya. – SAHIH