K. Jey tumpu pecah tiga rekod MBOR pada 8 Mac
K. Jey tumpu pecah tiga rekod MBOR pada 8 Mac
TEMERLOH : Instruktor kecergasan, K. Jey Prabakaran Thevar bertekad untuk memecah tiga rekod Malaysia Book of Records (MBOR) dengan melakukan lompat bicu (jumping jack), sambungan kaki (extension leg) dan ulangan mencangkung (squating) paling banyak dalam sehari pada 8 Mac ini.

Atlet berusia 28 tahun kelahiran Lipis itu menyasarkan untuk mencapai sekurang-kurangnya 3,000 ulangan bagi setiap kategori dan berharap dapat menamatkan setiap percubaan dalam tempoh lima jam.
Sebelum ini, beliau sudah mempunyai rekod dunia, Asia dan Malaysia di bawah tali pinggangnya untuk sesi senaman kardio tanpa henti paling lama.
“Saya tidak mahu untuk memberhentikan prestasi saya dalam masa terdekat kerana mahu memecahkan rekod MBOR pada 8 Mac dengan melakukan disiplin seperti lompatan bicu, sambungan kaki dan ulangan mencangkung paling banyak dalam sehari.
“Saya sekali lagi mahu melakukan disiplin ketahanan fizikal dan daya tahan mental, tapi kali memberi tumpuan kepada otot kaki saya berbanding rekod sebelum ini untuk senaman kardio tanpa henti di mana saya menggunakan sepenuhnya kekuatan badan dan tangan untuk rutin termasuk sesi senaman angkat berat,” katanya di sini.
Anak bongsu daripada empat beradik itu, Jey Prabakaran menyifatkan cabaran luar biasa beliau untuk mencipta rekod baharu Malaysia dalam tiga kategori kecergasan yang meletihkan sebagai menguji ketahanan, kekuatan dan ketabahannya.
“Persediaan telah bermula pada akhir tahun lalu termasuk melalui diet ketat untuk mengurangkan berat badan saya, sebelum ini hanya berfokus kepada stamina seperti rekod lepas, kali ini ke arah membina kekuatan kaki supaya saya mampu bertahan melalui ketiga-tiga rutin itu.
“Saya telah melatih otot-otot kaki dengan berlari secara condong beberapa jam sehari dan ketika ini, saya menjalani latihan empat jam sehari dan sesi latihan akan ditingkatkan kepada tempo yang lebih tinggi minggu depan,” katanya.
Beliau penerima Ijazah Kedoktoran Kehormat dalam kerja sosial di Dayspring Theological University di Amerika Syarikat pada 2022 berkata, sejak dia sudah menjalani tiga pembedahan, pasukan bimbingannya telah merangka perancangan rapi untuk memastikan dia bebas daripada kecederaan menjelang Mac depan.-SAHIH.