Jutawan dari Terengganu, Muhammad Azlan Abdullah@Ali bayar denda pemandu lori
Jutawan dari Terengganu, Muhammad Azlan Abdullah@Ali bayar denda pemandu lori
ALOR SETAR- Seorang pemandu lori treler didenda Rm4000.00 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memandu sebuah lori treler dengan tidak cermat dan bertimbang rasa, 10 tahun lalu.
Hukuman dijatuhkan Majistret Muhammad Zul Hilmi Latif kepada Nor Azam Mat Saman, 44 tahun di Mahkamah Majistret Alor Setar, pagi tadi.
Dalam kejadian pada pukul 4.30 pagi, 17 Ogos 2012 di Jalan Pendang ke Kobah, Nor Azam, yang memandu sebuah lori treler sedang membuat pusingan U.
Bagaimanapun sebuah motorsikal yang datang dari arah Pendang ke Kobah melanggar lori treler berkenaan menyebabkan penunggangnya meninggal dunia.
Tertuduh kemudian didakwa dibawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333 pindaan 1999-A1065) kerana memandu sebuah lori treler dengan tidak cermat dan bertimbang rasa.
Sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak kurang RM4000.00 dan tidak lebih RM10,000.00 dan penjara tidak lebih 12 bulan.
Pendakwaan diwakili Inspektor Ahmad Shukri Saadon (Inspektor Perundangan/Pendakwaan), Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kota Setar
Manakala Nor Azam diwakili peguam, Mohd Khairul Hafizuddin Ramli.
Majistret Muhammad Zul Hilmi Latif menjatuhkan hukuman denda 4 ribu ringgit dan hukuman penjara lima bulan sekiranya gagal menjelaskan denda.
Denda tersebut bagaimanapun telah dibayar oleh seorang jutawan dari Terengganu, Muhammad Azlan Abdullah@Ali yang bersimpati dengan kesusahan hidup pemandu lori berkenaan.
Kos guaman turut ditanggung Muhammad Azlan yang turut hadir di Kompleks Mahkamah Alor Setar, pagi tadi.-SAHIH