“Jangan suruh saya bakar!” – Rafizi sindir Ramanan secara terbuka
“Jangan suruh saya bakar!” – Rafizi sindir Ramanan secara terbuka
TEMERLOH – Suasana ceramah Parti Keadilan Rakyat (PKR) malam tadi bertukar hangat apabila Datuk Seri Rafizi Ramli secara terbuka menyindir Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan yang didakwanya gemar mencetus isu tetapi enggan berdepan secara bersemuka.
Menurut Rafizi, beliau tidak gentar untuk ‘membakar’ lebih awal sekiranya cabaran terus dilemparkan secara tidak langsung.
“Jadi jangan suruh saya bakar lagi lah. Saya bakar awal-awal je lah!” katanya ketika berucap dalam siri Jelajah HIRUK di Dewan Sri Mentakab, di sini.
Sindiran itu dipercayai merujuk kepada kenyataan Ahli Parlimen Sungai Buloh itu yang mendakwa prestasi Rafizi sebagai Pengarah Pilihan Raya PKR tidak memuaskan, dan menyatakan bahawa Nurul Izzah Anwar mempunyai formula lebih berkesan untuk memastikan kemenangan 80 kerusi pada Pilihan Raya Umum akan datang.
Kenyataan Rafizi itu dilihat sebagai isyarat jelas bahawa persaingan bagi jawatan Timbalan Presiden PKR semakin sengit, dengan kem-kem tertentu dalam parti sudah mula menunjukkan taring masing-masing.
Seorang penyokong Rafizi yang ditemui berkata, sudah tiba masanya Ramanan bersikap lebih telus sekiranya benar-benar mahu bertanding.
“Kalau Ramanan betul-betul mahu bertanding, lebih baik tampil secara rasmi. Jangan main belakang, jangan sekadar naikkan nama orang lain,” katanya yang enggan dikenali.
Pemilihan PKR yang dijangka berlangsung dalam masa terdekat dilihat bakal menjadi antara yang paling panas dalam sejarah parti itu, dengan pelbagai spekulasi dan percaturan dalaman terus mencuri tumpuan.-SAHIH