IBU TUNGGAL DITIPU ‘KEKASIH MAT SALLEH’
Berita Jenayah
IBU TUNGGAL DITIPU ‘KEKASIH MAT SALLEH’
BACHOK: Akibat termakan janji lelaki United Kingdom, seorang ibu tunggal yang bekerja sebagai penjawat awam rugi RM615,000 ditipu kekasih Mat Sallehnya.
Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat, berkata wanita berusia 50 tahun itu berkenalan dengan lelaki berkenaan di Facebook yang mendakwa dirinya seorang ahli perniagaan.
“Wanita itu mendakwa kekasihnya mahu menghantar hadiah, iaitu barangan kemas dan wang tunai dalam bentuk dolar Amerika Syarikat.
“April lalu, mangsa dihubungi kakitangan syarikat penghantaran mengatakan ada satu bungkusan dari England atas namanya dihantar kenalan Facebook dan mangsa diminta membuat bayaran local charges sebanyak RM1,350 ke satu akaun bank tempatan milik individu kononnya pegawai syarikat penghantaran.
“Selepas itu mangsa diarah berterusan membuat pelbagai jenis bayaran dan transaksi ke beberapa akaun milik individu berbeza sehingga berjumlah RM615,000,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Beliau berkata, wanita itu diminta berbuat demikian kononnya bagi mendapatkan bungkusan yang mengandungi wang berjumlah AS$295,000 (RM1.2 juta) dan barang kemas bernilai AS$85,000 (RM352,750).
Shafien berkata, mangsa akur membuat pemindahan wang kerana diugut suspek daripada syarikat penghantaran yang akan membuat laporan kepada kerajaan Malaysia dan mangsa akan didenda RM5 juta dan dipenjara 15 tahun jika tidak membayar wang diminta.
“Bayaran itu, kononnya untuk pelepasan tunai, insurans, sijil pelepasan United Kingdom, pengesahan bebas bahan kimia, cukai jualan negeri (SST) dan sijil antipengubahan wang haram,” katanya.
Mangsa membuat aduan di balai polis Ibu Pejabat Daerah (IPD) Pasir Puteh selepas mengesyaki ditipu selepas berkongsi kejadian itu kepada ahli keluarga.
Shafien berkata, dia menasihatkan masyarakat khususnya wanita jangan mudah cair dengan cinta palsu love scam yang menjerat wanita berkerjaya melalui laman sosial.
Katanya, kes disiasat oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kelantan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan pesalah boleh dipenjara maksimum 10 tahun dengan sebatan dan denda.
Sumber: BH Online