IBU NEGARA BARU INDONESIA WILAYAH KALIMANTAN TIMUR
IBU NEGARA BARU INDONESIA WILAYAH KALIMANTAN TIMUR
JAKARTA: Indonesia kekal komited untuk membangunkan ibu negara baru di wilayah Kalimantan Timur, yang akan bermula selepas program vaksinasi COVID-19 selesai pada Mac 2022.
Negara itu memulakan program vaksinasi secara besar-besaran 14 Januari lalu, didahului dengan pekerja kesihatan di seluruh kepulauan itu, selepas Presiden Joko Widodo (Jokowi) menerima suntikan pertama vaksin pada 13 Januari lalu.
Menteri Perancangan Pembangunan Nasional, Suharso Monoarfa, baru-baru ini berkata, selepas program vaksinasi itu kerajaan akan memulakan pembangunan ibu kota baru Indonesia, yang dijangka mencipta lebih banyak peluang pekerjaan.
Beliau berkata, rang undang-undang mengenainya sudah dimasukkan dalam program perundangan nasional dan peraturan presiden bagi penubuhan lembaga pihak berkuasa untuk ibu kota baru itu sudah pun diwujudkan.
Tambah beliau, pembangunan ibu kota baru itu kini sedang menunggu arahan Jokowi, sementara Indonesia giat memberi tumpuan menyelesaikan program vaksinasi.
Timbalan agensi bagi pembangunan wilayah, Rudy Soeprihadi Prawiradinata, berkata jangka masa pembangunan ibu negara baharu itu masih mengikut jadual walaupun negara itu kini sedang berdepan wabak COVID-19.
Jelas beliau, majlis pecah tanah yang sebelum ini dijadualkan pada Ogos 2020, ditunda sehingga program vaksinasi nasional selesai dan berharap ketua negara itu akan memasuki pejabat di ibu negara baru pada 2024.
Sementara itu, timbalan kepada ketua daerah Penajam Paser Utara, yang menjadi sebahagian tempat bagi ibu negara baru itu, Hamdam, berkata usaha memindahkan ibu negara ke wilayah Kalimantan Timur sudah pada peringkat akhir.
Katanya, rancangan terperinci bagi ibu negara baru itu sudah dimuktamadkan Kementerian Perancangan Pembangunan Nasional dan pemindahannya hanya menunggu keputusan politik presiden dan kelulusan peraturan Parlimen.
Pemindahan ibu negara Indonesia terkandung dalam Rancangan Pembangunan Jangka Menengah Nasional 2020-2024.
Pada 26 Ogos 2019, Jokowi mengumumkan sebuah ibu negara baru akan dibina antara daerah pentadbiran Penajam Paser Utara dan daerah Kutai Kartanegara di wilayah Kalimantan Timur.
Kalimantan Timur dengan keluasan kira-kira 125.337 kilometer persegi adalah wilayah Indonesia di timur pulau Kalimantan, yang juga dikenali sebagai Borneo dengan jumlah penduduk lebih sejuta orang.