Ibu bapa sokong sekolah ditutup, anak belajar di rumah akibat jerebu
Ibu bapa sokong sekolah ditutup, anak belajar di rumah akibat jerebu
TAWAU: Keputusan menutup sementara sekolah dan melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) susulan keadaan jerebu di daerah ini mendapat sokongan ibu bapa yang mengutamakan keselamatan serta kesihatan anak-anak.
Tinjauan mendapati kebanyakan ibu bapa menyifatkan langkah itu sebagai tindakan tepat selepas bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) di Tawau berada pada tahap tidak sihat sejak dua hari lalu.
Mereka berpandangan pelaksanaan PdPR dapat mengurangkan pendedahan murid kepada pencemaran udara, terutama ketika menjalani aktiviti luar bilik darjah.
Seorang suri rumah, Nur Hazlinda Meruddin berkata, pelaksanaan PdPR lebih sesuai dalam keadaan cuaca yang tidak mengizinkan, khususnya apabila murid turut terbabit dengan aktiviti sukan di sekolah.
“Ikut PdPR ini okeylah sebab kalau sekolah pun, kalau makin teruk kan, mereka ini suka ada sukan.
“Jadi baguslah kalau ada PdPR begini. Lagipun mereka ini pun sekolah, buat kerja ramai-ramai,” katanya.
Menurutnya, ibu bapa juga perlu memainkan peranan memastikan anak-anak mengikuti sesi pembelajaran dan menyiapkan tugasan yang diberikan guru sepanjang berada di rumah.
Sementara itu, guru Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Tawau, Nurul Amirah Abdul Rahman berkata, pelaksanaan PdPR bukan perkara baharu kepada warga pendidik yang sudah mempunyai pengalaman mengendalikan pembelajaran secara dalam talian.
Bagaimanapun, katanya, cabaran utama adalah memastikan semua murid memberikan komitmen dan mengikuti setiap sesi pembelajaran yang dijalankan.
“Guru-guru pun ini bukan pertama kali kita melaksanakan PdPR. Sudah menjadi kebiasaan baharu, tetapi sebagai guru kita kena bersedia dengan apa sahaja keadaan.
“Cara pelaksanaannya sama juga macam kelas biasa, cuma mod pembelajaran dilaksanakan di rumah menggunakan kaedah dalam talian sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata, kerjasama ibu bapa amat penting bagi memastikan kehadiran dan penglibatan murid sepanjang tempoh PdPR berjalan lancar.
Pada Selasa lalu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengarahkan semua sekolah di bawah Pejabat Pendidikan Tawau ditutup sementara berikutan keadaan jerebu dan bacaan IPU pada tahap tidak sihat.-SAHIH
#Jerebu #Tawau #PdPR #KPM
