GAJAH MASUK KAMPUNG, PENDUDUK TERGAMAM
GAJAH MASUK KAMPUNG, PENDUDUK TERKEJUT
KUALA NERUS: “Memang terkejut sebab tak pernah tengok gajah sedekat ini dan Allah sahaja yang tahu perasaan saya ketika itu, mujurlah haiwan itu hanya melalui kawasan rumah, tidak dapat bayangkan sekiranya ia mengganas,” kata Wook Umat, 82 tahun.
Warga emas itu yang baharu selesai menunaikan solat Subuh kira-kira jam 6.20 pagi tergamam setelah terdengar bunyi bising di luar rumah dan melihat seekor gajah berada di hadapan rumahnya di Kampung Pengkalan Atap Batu Rakit, di sini, hari ini.
“Mulanya, saya sangka bunyi bising itu disebabkan anak saya sedang membersihkan laman rumah sebelum ke luar rumah untuk melihat apa yang dilakukan, bila buka pintu, saya ternampak seekor gajah berada di hadapan rumah.
“Saya sangat terkejut sebab tak pernah tengok haiwan besar sedekat ini dan Allah sahaja yang tahu perasaan saya ketika itu,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Mazlan Mat Jusoh, 53, berkata, dia dikejutkan dari tidur oleh isterinya pada 6 pagi memaklumkan terdapat objek besar melalui belakang rumah mereka.
“Saya bangun dan mengintai dan terkejut, gajah lalu di hadapan rumah, sebaik ia beredar, saya segera membuat pemeriksaan dan mendapati pagar rumah serta kereta rosak.
“Kejadian itu menyebabkan saya menanggung kerugian hampir RM1,000 selepas sebahagian pagar dan keretanya dirosakkan haiwan ini,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit, Bazlan Abd Rahman melahirkan rasa lega apabila gajah yang memasuki kawasan kampung berkenaan berjaya ditangkap.
“Setakat ini, lima rumah penduduk mengalami kerosakan pada pagar akibat serangan gajah itu, selain itu sebuah kereta milik penduduk turut mengalami kerosakan dan kita akan melihat bantuan yang boleh diberikan kepada penduduk terbabit,” katanya.
Perkembangan berkaitan, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Loo Kean Seong ketika dihubungi berkata, gajah jantan yang dianggarkan seberat dua tan berjaya ditangkap kira-kira 10 pagi tadi.
Katanya, gajah liar yang dipercayai berusia berusia 10 tahun itu dipercayai haiwan yang sama berkeliaran di Sungai Tarom, Setiu pada Sabtu lalu.
“Gajah itu dikesan masuk ke kampung berkenaan hari ini dan berjaya ditangkap selepas ditembak dengan ubat pelali,” katanya.
Dipetik : Harian Metro
Video/gambar: Media sosial