FELDA PERLU TAMBAHAN MASA UNTUK PENYELARASAN PINJAMAN PENEROKA
FELDA PERLU TAMBAHAN MASA UNTUK PENYELARASAN PINJAMAN PENEROKA
JERANTUT: FELDA perlu menimbang cadangan agar tempoh 14 hari untuk menandatangani perjanjian antara FELDA dan peneroka melalui inisiatif penyelarasan pinjaman peneroka dilanjutkan bagi memberi peluang mereka memahami isi kandungannya dengan lebih jelas.
Generasi kedua yang juga Ketua Peneroka Felda Sungai Retang, Mohd Hafizan Umar, 43 berkata, tambahan masa adalah perlu bagi membolehkan peneroka menyemak jumlah besar hutang yang tercatat dalam penyata peneroka yang dimuat turun melalui e-portal.
Ketua Peneroka Felda Sungai Retang, Mohd Hafizan Umar
Katanya, ia perlu disemak oleh peneroka dan juga Jawatankuasa Tanam Semula (JTKS) di peringkat rancangan dan perlu disahkan bersama laporan kewangan JKTS.
” Ini bagi memastikan tiada kesalahan serta ketelusan nilai hutang dalam penyata yang dikeluarkan oleh FELDA.
“Saya ada menerima maklumbalas bahawa masih terdapat kesalahan di dalam penyata yang dikeluarkan oleh FELDA berakhir 31 Disember 2019, maka perlu ada tempoh masa yang sesuai untuk peneroka menelitinya, ” katanya.
Beliau berkata, tambahan hari itu perlu bagi memberi peluang kepada peneroka generasi pertama berbincang dengan anak-anak mereka yang kebanyakan berada di perantauan.
” Persetujuan inisiatif ini memerlukan perbincangan keluarga peneroka kerana ia dengan jelas melibatkan waris, sebagaimana termaktub dalam perjanjian yang ditetapkan oleh FELDA.
” Ramai peneroka menganggap tempoh masa 14 hari untuk mendapatkan persetujuan dilihat amat singkat dan terburu-buru dalam keadaan negara sedang menghadapi pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan ( PKP),” katanya.
Beliau berkata, kesefahaman semua pihak penting terutamanya syarat yang telah dikeluarkan perlu difahami peneroka agar inisiatif yang baik ini dapat dilaksana dengan lancar dan bersifat menang -menang antara FELDA dan peneroka kerana ia telah lama ditunggu-tunggu oleh seluruh warga FELDA sejak sekian lama.
Ketua Peneroka Felda Jengka 24, Abdul Razak Daud, 60, berkata, kebanyakan peneroka setuju dengan syarat yang baru yang dikeluarkan oleh pihak FELDA kerana ianya lebih sistematik dan munasabah.
” Peneroka hendaklah mengambil peluang atas usaha kerajaan dan FELDA untuk membantu para peneroka dan ia adalah satu kerugian besar jika peneroka menolaknya.
Ketua Peneroka Felda Jengka 24, Abdul Razak Daud
” Inilah perjuangan kita selama ini dan yang ditunggu -tunggu supaya Felda menghapuskan sebahagian pinjaman peneroka dan hari ini kita amat bertuah kerajaan dan FELDA telah bersetuju melupuskan sebanyak 80%. hutang dengan FELDA,” katanya.
Abdul Razak berkata,perjanjian pelarasan pinjaman peneroka secara bersyarat antara FELDA dan peneroka dilihat bersifat adil kepada kedua-dua pihak.
Katanya peneroka masih dibenarkan mengurus kebun sendiri dengan syarat melaksanakan pengurusan kebun mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan amalan pertanian baik yang ditetapkan oleh FELDA serta perlu menghantar hasil sepenuhnya kepada FELDA.
Dalam pada itu, , Abdul Razak berkata tidak timbul isu peneroka terpaksa menyerahkan tanah bagi menikmati manfaat penghapusan pinjaman yang ditawarkan itu.
Katanya perjanjian tujuh muka surat itu hanya meminta persetujuan peneroka untuk menyerahkan pengurusan kebun di tanah rancangan bermula dari tarikh perjanjian.
“Ia bukan bermaksud tanah kami diambil seperti didakwa, Felda hanya menguruskan kebun sama seperti sebelum ini.
“Kalau kami perlu serah tanah, pengurusan Felda tidak pun meminta geran sebagai cagaran hapus hutang,” katanya. – SAHIH