WARGA EMAS PELIHARA LAPAN CUCU KEMATIAN IBU BAPA AKIBAT COVID-19
WARGA EMAS PELIHARA LAPAN CUCU KEMATIAN IBU BAPA AKIBAT COVID-19
JERANTUT : Lapan anak kepada pasangan Noraini Ibrahim yang meninggal dunia ketika berusia 43 tahun akibat pandemik Covid-19 pada 18 Julai lalu, manakala suaminya, Ben Yajeed Bernie, 45, meninggal dunia dua hari sebelum 16 Julai juga akibat serangan penyakit yang sama akan dipelihara oleh pasangan warga emas di Felda Kota Gelanggi Dua, dekat sini.
Bagi pasangan warga emas di Felda Kota Gelanggi Dua, dekat sini, Ibrahim Ali, 68, dan Bedah Rusi, 68, juga memendam rindu dan kasih sayang terhadap lapan orang cucunya yang tinggal di Bukit Beruntung, Rawang, Selangor ketika ini.
Ibrahim, seorang peneroka tanah rancangan itu berkata, sejak kematian anak dan menantunya, mereka masih lagi belum dapat berjumpa dengan cucunya di Bukit Beruntung disebabkan sekatan daerah dan negeri di bawah penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Kami hanya bercakap dengan cucu menggunakan telefon bimbit melalui Whatsapp untuk bertanyakan khabar mengenai kesihatan, makan-minum dan nasihat serta panduan menjaga diri masing-masing.
“Cucu-cucu itu adalah darah-daging kami, siang malam saya dan isteri sentiasa teringat cucu di sana dan sekiranya dibenarkan, kami ingin segera ke Bukit Beruntung hari ini juga,” katanya di Felda Kota Gelanggi Dua, Jerantut ketika ditemui baru-baru ini.
Katanya, arwah Noraini anak ketiga daripada 10 beradik yang bekerja di sebuah kilang pengeluaran makanan pernah berhubung mengadu badannya lemah, kemudian dia dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh dan kemudiannya dipindahkan ke pusat kuarantin dan rawatan Maeps, Serdang.
“Menantu saya (Ben) yang berasal dari Sandakan, Sabah berniaga kecil-kecilan merupakan kontak rapat isterinya pun disahkan positif Covid-19 lalu dimasukkan ke Hospital Selayang dan tidak beberapa lama dipindahkan ke wad ICU sebelum meninggal dunia,” katanya.
Ibrahim berkata, oleh kerana lapan orang cucu yang sudah tiada tempat bergantung maka kami mengambil keputusan menjaga mereka di Felda Gelanggi 2.
“Ketika anak saya sakit, arwah pernah membuat panggilan dan sambil meminta dihalalkan makan-minum, ampun dan maaf berkali-kali serta memohon menjaga lapan orang anaknya selepas ini.
“Kata-kata Noraini kerap bermain di cuping telinga saya sehingga ini membuatkan saya amat sedih dan perasaan sayang terhadap cucu kian membara malah sanggup menjaga mereka selagi saya dan isteri masih ada hayat,” katanya.
Katanya, semasa hayat arwah Noraini pernah memberitahu untuk mengeluarkan wang simpanannya di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi membina rumah di sini (Felda), tetapi tidak kesampaian kerana Allah SWT sayangkannya terlebih dahulu.
Jelasnya, sehingga ini, cucunya yang paling tua, Nazurah Nabilah, 19, seorang penuntut Diploma Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Politeknik Sultan Azlan Shah, Behrang bertindak menjaga adiknya, tujuh beradik sambil dibantu oleh keluarga bapa saudara yang menetap di tempat yang sama.
Selanjutnya, Ibrahim berkata, selepas Noraini dan Ben Yajeed Bernie meninggal dunia, kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sangat mengambil endah dengan kebajikan serta nasib lapan beradik itu.
“Kerajaan negeri segera meluluskan peruntukan pembinaan Rumah Rakyat Pahang (RRP) bernilai RM65,000 secara percuma berdekatan kediaman saya di sini.
“Saya amat berterima kasih kepada Menteri Besar Pahang dan juga wakil rakyat kawasan Pulau Tawar, Datuk Nazri Ngah serta Jawatankuasa Kemajuan Kemakmuran Kampung (JKKK) yang turut membantu sehingga kerajaan negeri meluluskan segera bantuan RRP termasuk tapak pembinaan rumah ini,” katanya.
Katanya, dia juga bersyukur dan sangat terhutang budi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sewaktu menjadi Timbalan Perdana Menteri pernah menziarahi cucunya penghujung bulan Julai lalu sambil menghulurkan bantuan untuk pendidikan dan kebajikan.
Bagi nenek lapan orang cucu tersebut, Bedah juga terharu dan berterima kasih kepada semua pihak yang beramal jariah membantu lapan orang cucunya selepas bergelar anak yatim piatu.
“Apapun, saya berdoa siang dan malam supaya cucu selamat di sana dan tidak sabar untuk menemui serta membawa mereka pulang ke sini dan tinggal bersama kami,” katanya. –SAHIH.