Dua nama disenaraipendek UMNO-BN di Pelangai
Dua nama disenaraipendek UMNO-BN di Pelangai
BENTONG – Kalau ikutkan perancangan asal, Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sepatutnya mengumumkan nama calon untuk PRK Pelangai hari ini.
Namun, nampaknya keputusan muktamad mengenai siapa bakal dipilih sebagai calon masih belum selesai.
Sehingga minggu lalu, difahamkan Wan Rosdy yang juga Menteri Besar Pahang sedang menilai empat hingga enam nama calon yang sesuai untuk meneruskan penguasaan UMNO-BN di Pelangai.
“Calon masih lagi… daripada enam dah tinggal empat, masih lagi diperhalusi, saya akan bincang dengan presiden parti sebelum dimuktamadkan, kita akan umumkan sebelum 23 hari bulan.
“Kita cari calon yang terbaiklah, kriterianya banyaklah, antaranya WALI lah, ‘winnable, ‘applicable’ dan ‘likeable’, calon yang boleh menang,” katanya ketika ditemui media di FELDA Kemasul, pada 12 September lalu.
Difahamkan, sehingga petang ini, senarai nama itu sudah memasuki pusingan terakhir menjelang pengumuman rasmi pada Rabu ini.
“Dah tinggal dua nama untuk dipilih, semuanya sudah hampir selesai.
“Majlis pengumuman rasmi calon untuk Pelangai pada Rabu ini di Bentong.
“Kedua nama itu adalah yang terbaik dan anak tempatan,” kata sumber rapat dengan pimpinan BN Pahang.
Dia juga memaklumkan, seorang daripada calon itu adalah anak tempatan dari Simpang Pelangai.
Katanya, semua kriteria sedang diperhalusi pimpinan UMNO-BN Pahang dan PUSAT-SAHIH.