Disangka babi hutan,pemburu maut ditembak rakan
Disangka babi hutan,pemburu maut ditembak rakan
KAPIT – Seorang lelaki maut apabila terkena tembakan yang dilepaskan rakan sendiri semasa aktiviti memburu di kawasan hutan Sungai Tanyit, Merit, dekat sini pada Rabu.
Dalam kejadian jam 3 petang itu, mangsa, Jembu Selukai, 36, dari Rumah Kilau, Sungai Melilau di sini mengalami kecederaan parah di bahagian perut dan paha kiri akibat terkena tembakan oleh rakannya berusia 45 tahun.
Ketua Polis Daerah Kapit, Deputi Superintendan, Freddy Bian dalam kenyataan pada Khamis berkata, suspek telah menyerah diri di Balai Polis Kapit pada pagi Khamis bersama dengan selaras senapang patah disyaki ‘bakakok’ (buatan sendiri).
Katanya, mangsa meninggal dunia ketika dibawa balik ke kem tempat mereka bekerja.
Menurutnya, siasatan mendapati mangsa bersama suspek telah pergi ke hutan tersebut untuk berburu, manakala dua lagi rakan mereka pergi menjala ikan di sungai berhampiran.
Beliau berkata, suspek dikatakan telah melihat satu bayangan yang disangkakan babi hutan dan melepaskan tembakan, lapor Bernama
Kes disiasat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan dan Seksyen 8(1) Akta Senjata Api 1960.
Sumber: BERNAMA
Photos: Media Sosial