PM UCAP TAKZIAH KELUARGA ALLAHYARHAM
PM UCAP TAKZIAH KELUARGA ALLAHYARHAM
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan keluarga mengucapkan takziah atas pemergian Ahli Parlimen Gerik, Datuk Hasbullah Osman, hari ini.
Muhyiddin menyampaikan ucapan itu menerusi hantaran dimuat naik di Facebook kira-kira jam 8 malam tadi.
“Saya mendapat perkhabaran mendukacitakan bahawa Datuk Hasbullah Osman, Ahli Parlimen Gerik, Perak, baharu sahaja meninggal dunia.
“Saya dan keluarga mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham atas pemergian insan tersayang,” katanya.
Memetik laporan Berita Harian, dalam hantaran itu juga, Muhyiddin memaklumkan bahawa Hasbullah adalah bekas Setiausaha Politiknya ketika beliau menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri.
“Selaku Setiausaha Politik, Allahyarham memainkan peranan besar dalam mencorakkan perjalanan politik saya, jasa yang amat saya hargai hingga ke hari ini.
“Banyak kenangan yang kami kongsi bersama. Pemergian Allahyarham adalah satu kehilangan besar buat saya,” katanya.
Muhyiddin juga berkata, sebagai seorang wakil rakyat, Allahyarham dikenali sebagai individu yang sentiasa membangkitkan hal-hal berkaitan kepentingan rakyat di Parlimen selain sikapnya yang ramah membuatkan Hasbullah mesra dengan semua orang.
“Bagi pihak kerajaan, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas jasa bakti Allahyarham sepanjang bergelar wakil rakyat dan juga selaku Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).
“Semoga amalan baik Allahyarham diterima Allah SWT dan rohnya ditempatkan bersama orang yang beriman dan beramal soleh. Amin,” katanya.
Hasbullah, 63, meninggal dunia di Raub, Pahang petang tadi kerana sakit jantung.
Allahyarham yang dilantik sebagai Pengerusi SPNB pada 11 Mei lalu, menyandang kerusi Parlimen Gerik sejak 2004, selain Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temenggor selama dua penggal antara 2004 hingga 2013.
Dalam PRU lalu, Allahyarham mengekalkan kedudukan sebagai Ahli Parlimen Gerik selepas menang dengan majoriti 5,528 dalam saingan tiga penjuru menewaskan calon PAS, Mohd Dahalan Ismail dan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Ibrahim Mohd Hanafiah.