CUTI BOMBA IKUT KEPERLUAN
MARAN : Cuti 15,000 pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) seluruh negara akan dibekukan mengikut keperluan bergantung kepada keadaan musim tengkujuh yang berlaku.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr Ismail Abdul Muttalib berkata, setakat ini pegawai dan anggota bomba seluruh negara belum dibekukan cuti dan memberi kelonggaran kepada mereka untuk bercuti atas sebab yang tidak dapat dielakkan.
Gambar hiasan
Bagaimanapun katanya, mereka sentiasa berada dalam kesiapsiagaan memandangkan beberapa negeri ketika ini sedang menghadapi musim tengkujuh.
“Mengenai cuti anggota kita sebenarnya setakat ini belum dibekukan cuti dan kita akan melihat kepada keperluan.
“Andai kata kalau keperluan membekukan cuti, kita akan bekukan cuti.
“Kita bagi ruang kepada mereka yang memerlukan cuti atas sebab yang tidak boleh dielakkan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Deepavali Peringkat Parlimen Maran di sini, hari ini.
Majlis Sambutan Hari Deepavali Peringkat Maran
Ismail berkata, pegawai dan anggota kini berada dalam kesiapsiagaan dan telah menjalani latihan penyelamatan selain melakukan sanitasi awam di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Katanya, JBPM sentiasa memainkan peranan mereka dalam membantu masyarakat.
“Mereka merupakan barisan hadapan dalam usaha menangani wabak COVID-19 yang berlaku ketika ini dan pada masa sama perlu berkhidmat membantu masyarakat pada musim tengkujuh.
“Peranan yang dimainkan mereka tidak putus-putus,” katanya.
Pada majlis itu, seramai 90 orang terdiri daripada kumpulan B-40 dan warga emas dalam daerah itu menerima sumbangan berupa makanan bagi meringankan beban harian mereka.