Bakat ASYIKfm Gradung-Gradeng
Bakat ASYIKfm Gradung-Gradeng
CAMERON HIGHLANDS : Stesen radio Orang Asli Radio Televisyen Malaysia, ASYIKfm telah mengadakan program rakaman segmen Gradung-Gradeng (bahasa Temiar bermaksud ‘bunyi-bunyian yang riuh rendah’ ) antara usaha mencari bakat serta mengetengahkan penyanyi dalam kalangan Orang Asli di kampung pedalaman daerah ini.
Penerbit ASYIKfm, Hardy Zakaria berkata, usaha rakaman tersebut telah dilakukan di Kampung Ruil berdekatan Tanah Rata sebagai ‘one stop centre’ bagi membolehkan pemuzik (band) serta penyanyi Orang Asli daripada kampung pedalaman datang membuat rakaman seperti Pos Manson, Pos Lanai, Pos Terisu, Pos Betau dan Pos Ruil.
“Program Gradung-Gradeng merupakan segmen hiburan AsyikFM dan kita telah mengenalpasti enam buah band Orang Asli untuk rakaman lagu dalam bahasa etnik masing-masing untuk siaran pada masa akan datang.
“Kita turun padang untuk memperoleh sumber material seperti lagu ciptaan pemuzik Orang Asli yang cukup kreatif serta nyanyian iringan band berkenaan untuk diketengahkan menerusi siaran di radio nanti,” katanya selepas rakaman segmen Gradung-Gradeng di Kampung Sungai Ruil, Tanah Rata dekat sini.
Menurut Hardy, rakaman itu dilakukan dengan sempurna dan berjaya bakal dijadikan bahan siaran di radio ASYIKfm menerusi ke udara dalam segmen Gradung Gradeng untuk slot minggu akan datang.
Beliau yang juga Dj Radio ASYIKfm berkata, enam buah band masing-masing telah mempersembahkan sekurang-kurangnya lima buah lagu untuk rakaman, iaitu G-NA Band, Mantis Band, N Band, HB Band, Pripai dan KSR Band.
Katanya, program pencarian bakat itu merupakan pertama kali di Pahang dan memfokuskan Cameron Highlands yang ramai populasi Orang Asli, manakala sebelum ini aktiviti yang sama sudahpun dilakukan di penempatan Orang Asli Selangor, Perak, Kelantan dan menyusul di Johor dalam masa terdekat.
“Di Cameron Highlands ramai bakat baharu Orang Asli berjaya dicungkil menerusi hasil karya lagu bahasa etnik yang cukup menarik dan kreatif untuk diketengahkan menerusi siaran di ASYIKfm nanti.
“Kita akan terus melaksanakan pencarian baharu dlalam kalangan 14 suku etnik Orang Asli di Semenanjung untuk membanyakan koleksi bahan dalam bahasa Semai, Jakun, Temiar dan Temuan yang kerap berkemundang di stesen radio ini,” katanya.
Katanya, Gradung Gradeng merupakan dialek etnik Temiar bermaksud ‘bunyi-bunyian yang riuh rendah’ merupakan segmen yang paling digemari oleh masyarakat Orang Asli dan mendapat rating yang tinggi setiap kali ke udara di radio ASYIKfm.
Ujarnya, selaku penerbit, dia serta rakan penyiar lain sentiasa meneroka bahan baharu untuk pendengar kalangan Orang Asli di Semenanjung sekali gus dapat mengangkat ASYIKfm sebaris dengan stesen radio lain di RTM.-SAHIH